Premis pasang bendera terbalik dikompaun RM500

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Pihak pengurusan sebuah pusat pameran, jualan dan servis kenderaan di Sungai Isap di sini dikenakan kompaun RM500 oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kerana didapati memasang Jalur Gemilang terbalik baru-baru ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, selain kompaun, surat surat amaran dan tunjuk sebab turut diberikan kepada pihak pengurusan premis berkenaan bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

“Berdasarkan kesalahan dilakukan pihak pengurusan premis itu, MPK mengenakan kompaun RM500 dan memberi surat tunjuk sebab kepada pusat terbabit.

"MPK juga telah menerima surat tunjuk sebab dari pusat terbabit seperti yang diarahkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, setakat ini hanya satu kesalahan bendera terbalik menerima kompaun daripada MPK dan orang ramai dinasihatkan untuk membuat aduan kepada MPK jika mendapati ada pihak yang sengaja memasangkan bendera terbalik.

Terdahulu, tersebar di media sosial berkenaan premis itu yang memasang bendera Malaysia secara terbalik sebelum ia disedari pemilik dan bertindak menurunkannya.

Bagaimanapun, tindakan itu mendapat kritikan hebat netizen sehingga syarikat itu mengeluarkan kenyataan permohonan maaf menerusi laman sosial Facebook rasmi mereka.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abdul Rahim Muda berkata, pemilik premis di negeri ini yang gagal memasang bendera Jalur Gemilang dan bendera negeri sempena Hari Kebangsaan atau Hari Keputeraan Sultan Pahang boleh dikenakan kompaun maksimum hingga RM500.

Artikel Berkaitan:

"Dalam syarat lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) ada dinyatakan bahawa pelesen atau pemilik premis perlu memasang bendera Jalur Gemilang dan bendera negeri sempena Hari Kebangsaan atau Hari Keputeraan Sultan Pahang.

“Pemilik premis perniagaan juga boleh dikompaun maksimum RM500 atas kesalahan atau digantung lesen perniagaan jika gagal berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.