Kebakaran koperasi: 5 pelajar SMK Bandar Baru Uda sesak nafas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lima pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda di sini dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat sesak nafas ekoran kebakaran bilik koperasi sekolah berkenaan hari ini.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Pegawai Bomba Kanan II Lasidin Nariano berkata, kesemua pelajar mengalami sesak nafas ketika berjemur lama di bawah sinaran matahari terik di tempat berkumpul sekolah itu selepas berlakunya kebakaran terbabit.

“Sesak nafas itu bukan disebabkan asap (kebakaran). Ketika kejadian, bilik koperasi tersebut tiada orang di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, bomba menerima panggilan pada 9.32 pagi tadi dan seramai 18 anggota bersama tiga jentera BBP Johor Bahru serta sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digegaskan ke tempat kejadian.

"Operasi pemadaman kemudian turut dibantu sembilan anggota bersama dua jentera dari BBP Tebrau.

“Kebakaran melibatkan sebuah bilik koperasi sekolah berkeluasan 20x20x15 kaki yang terbakar 60 peratus,” katanya.

Lasidin berkata, punca dan anggaran kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: