Kanak-kanak sesak nafas, sawan disyaki tertelan cecair vape

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di Bera disyaki mengalami keracunan nikotin akut dipercayai tersedut atau tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik (vape) jenis pakai buang pada 30 Mei lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, kanak-kanak tersebut yang tidak memiliki sejarah penyakit kronik ditemui oleh datuknya mengalami gejala batuk, muntah dan sesak nafas.

Menurut kenyataan itu, semasa ditemui, terdapat peranti rokok elektronik (vape) pakai buang terletak di atas lantai berhampiran mangsa.

"Kanak-kanak ini dipercayai tersedut atau tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik jenis pakai buang.

"Kanak-kanak ini seterusnya dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, Pahang kerana memerlukan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak," ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, kanak-kanak terbabit dilaporkan mengalami sawan sebanyak dua kali ketika dalam rawatan.

Bagaimanapun KKM memaklumkan keadaan kanak-kanak tersebut adalah stabil, mampu bernafas tanpa bantuan alat pernafasan dan dipantau oleh pihak hospital.

"Kejadian ini pada mulanya dilaporkan sebagai kemungkinan kes EVALI (Electronic Vape Associated Lung Injury), namun hasil penemuan klinikal didapati tidak memenuhi kriteria EVALI.

"Keputusan ujian air kencing menunjukkan kehadiran nikotin pada paras yang tinggi. Peranti rokok elektronik yang ditemui telah dihantar ke makmal untuk ujian lanjut," kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan tersebut, pesakit disahkan menghidapi Acute Life Threatening Event Secondary To Possible Alleged Nicotine Ingestion Complicated With Seizure.

Dalam pada itu, pihak KKM ingin menasihatkan orang ramai bahawa sebarang penggunaan produk merokok termasuk rokok elektronik adalah berbahaya kepada kesihatan.

"Keracunan nikotin akibat penggunaan tembakau atau cecair rokok elektronik boleh menyebabkan kesan akut seperti debaran jantung atau palpitation, muntah dan sawan.

"Ia boleh terjadi kepada semua pengguna termasuk kanak-kanak. Kesan nikotin yang tinggi serta pendedahan nikotin untuk jangka masa panjang terutama kepada kanak- kanak akan menyebabkan pertumbuhan otak terjejas," jelas kenyataan tersebut.