Unggul di pentas final

Pasangan beregu campuran negara Roy King Yap dan Gan Jing Err muncul juara selepas menewaskan pasangan dari Indonesia Ghana Muhammad Al Ilham dan Berliona Alma Pradisa pada Kejohanan Badminton Junior Terbuka Antarabangsa 2019 di sini hari ini.- Foto Bernama
Pasangan beregu campuran negara Roy King Yap dan Gan Jing Err muncul juara selepas menewaskan pasangan dari Indonesia Ghana Muhammad Al Ilham dan Berliona Alma Pradisa pada Kejohanan Badminton Junior Terbuka Antarabangsa 2019 di sini hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

BEREGU campuran negara, Yap Roy King-Gan Jing Err merangkul kejuaraan di Kejohanan Badminton Remaja Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2019 selepas menumpaskan pasangan Indonesia, Ghana Muhammad Al Ilham-Berliona Alma Pradisa pada pentas final di sini hari ini.

Pasangan pilihan keempat kejohanan itu mempamerkan aksi cemerlang apabila menang mudah dengan straight set 21-11, 21-12 pada perlawanan yang berlangsung selama 27 minit.

Yap yang turut beraksi dalam acara beregu lelaki bersama pasangannya, Ooi Jhy Dar turut mengungguli acara itu di pentas final.

Pasangan beregu itu menundukkan pasangan senegara, Justin Hoh Shou Wei-M Fazriq Mohamad Razif melalui straight set 21-14, 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung selama 32 minit.

Indonesia juga mempamerkan kehebatannya apabila menjuarai acara perseorangan lelaki, perseorangan wanita serta beregu wanita pada final hari ini.

Pilihan ketiga negara itu, Bobby Setiabudi menjuarai acara perseorangan lelaki apabila menewaskan rakan senegaranya Yonathan Ramlie dengan 22-20, 21-12 manakala acara perseorangan wanita menyaksikan Aisyah Sativa Fatetani bangkit sebelum mengalahkan pemain China, Tan Ning dengan 21-17, 19-21, 21-8.

Pasangan beregu wanita pilihan pertama Indonesia, Febriana Dwipuji Kesuma-Amalina Cahaya Pratiwi merangkul gelaran beregu wanita apabila menang straight set 22-20, 21-12 ke atas pasangan beregu senegara, Heleba Ayu Puspitasari-Aldira Rizki Putri. - Bernama

Artikel Berkaitan: