Malaysia sambar slot separuh akhir

Antara aksi menarik Malaysia menentang Iran dalam perlawanan Kumpulan A Hoki Dalam Dewan Wanita di Chonburi, Thailand pada Selasa. Foto MHC
Antara aksi menarik Malaysia menentang Iran dalam perlawanan Kumpulan A Hoki Dalam Dewan Wanita di Chonburi, Thailand pada Selasa. Foto MHC
A
A
A

SKUAD hoki dalam dewan wanita negara mara ke separuh akhir Piala Asia 2024 selepas menundukkan Iran 4-2 pada saingan terakhir Kumpulan A di Chonburi, Thailand pada Selasa.

Bagaimanapun sebelum itu skuad bimbingan Mohd Rodzhanizam Mat Radzi dibelasah 1-5 Kazakhstan di Thailand National Sport University (TNSU) Kampus Chonburi.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara gagal meneruskan rentak cemerlang dua perlawanan awal membelasah Vietnam 25-0 diikuti Oman 12-1.

Skuad negara yang tampil dengan misi wajib menang terlebih dulu ketinggalan menerusi jaringan Ziba Yahyavi pada minit kesembilan sebelum bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Raja Norsharina Raja Shahbuddin tiga minit kemudian.

Pania Abbasi menyumbat masuk gol padang pada minit ke-18 buat Iran sebelum Malaysia memperoleh tiga gol dalam masa tiga minit perlawanan menerusi Siti Nur Arfah Mohd Nor (22'), Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun (24') dan Juliani Mohamad Din (25').

Skuad negara bakal berdepan pemenang perlawanan antara Indonesia dan Thailand yang bersaing dalam aksi terakhir malam ini.

Sementara itu, Mohd Rodzhanizam menyifatkan semangat juang para pemain tidak berputus asa dan bermain mati-matian untuk bangkit antara faktor kemenangan pasukan.

"Untuk aksi separuh akhir, kami akan lakukan analisa ke atas pasukan lawan. Siapa pun lawan kami antara Thailand atau Indonesia, kami akan bersedia sepenuhnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!