Lebih baik Zahid cermin diri dulu: MB Selangor

Amirudin (dua dari kanan) hadir perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang Selangor di Hotel Carlton Seksyen 13 di sini hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi cermin diri sendiri terlebih dahulu sebelum mencampuri urusan politik parti lain.

Amirudin berkata, beliau meminta Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bimbangkan keadaan politik UMNO selepas ramai ahlinya keluar parti menyokong kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Gabungan BN semakin sedikit jadi jangan cakap Dr Mahathir bersendirian sedangkan orang UMNO melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), BN pula menyokong PH. Jadi cermin diri dulu," katanya pada Majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang Selangor di Hotel Carlton Seksyen 13 di sini hari ini.

Amirudin yang juga Pengerusi PKR Selangor berkata demikian mengulas komen Ahmad Zahid yang mendakwa Dr Mahathir bersendirian menghadapi konflik dan krisis dalaman PH seperti dilapor media.

Laporan itu menyebut, lebih memburukkan keadaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang didakwa menolak kepimpinan Dr Mahathir dengan menyusun strategi yang kini aktif dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri berpendirian tetap menyokong kepimpinan Perdana Menteri seperti dipersetujui oleh parti.

"Kita kekal pendirian siapa PM dipilih oleh PH, kita sokong dan ikut dasar seperti ditetapkan di peringkat pusat," katanya

ARTIKEL BERKAITAN: PH semakin menuju perpecahan: Zahid


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia