Mukhriz dahului senarai penerima darjah kebesaran

Mukhriz dianugerahkan Darjah Utama Seri Mahawangsa (DMK) membawa gelaran Datuk Seri Utama, di Istana Anak Bukit hari ini.
Mukhriz dianugerahkan Darjah Utama Seri Mahawangsa (DMK) membawa gelaran Datuk Seri Utama, di Istana Anak Bukit hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir mendahului senarai 61 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena sambutan ulang tahun Keputeraan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang ke-77.

Mukhriz menerima Darjah Utama Seri Mahawangsa Yang Amat Dihormati (DMK) membawa gelaran Datuk Seri Utama pada majlis penganugerahan darjah kebesaran itu yang berlangsung di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit hari ini.

Sultan Kedah turut berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Kedah (DK Kedah) kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, di mana Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin telah mempersembahkan warkah pengurniaan darjah kerabat itu kepada baginda pada 22 Ogos lalu.

Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dikurnia Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin (SSSK) membawa gelaran Datuk Seri DiRaja.

Seterusnya, Sultan Sallehuddin berkenan mengurniakan darjah kebesaran Orang Besar Lapan, Datuk Seri Paduka Indera kepada Datuk Indera Senggara, Datuk Paduka Mohd Saad Endut.

Penerima Darjah Paduka Seri Setia Sultan Sallehuddin (DPSS) membawa gelaran Datuk Paduka dikurniakan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ahmad Kasim dan Mufti Kedah, Datuk Sheikh Fadzil Awang.

Turut menerima anugerah sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Datuk Lela Pahlawan, Datuk Wira Ku Nahar Ku Ibrahim.

Selain itu, Datuk Seraja Setia Datuk Paduka Rasli Basir dikurniakan darjah kebesaran Orang Besar Enam Belas Datuk Indera Senggara.

Artikel Berkaitan:

Empat penerima Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah (DGMK) membawa gelaran Datuk Wira dikurnia kepada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir serta Penasihat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof.

Sultan Sallehuddin juga berkenan mengurniakan darjah kebesaran Orang Besar Tiga Puluh Dua Datuk Seraja Bakti kepada Datuk Mat Noh Ahmad.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Kedah, Zamri Yusuf dan Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Isahak Murat masing-masing menerima Darjah Datuk Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Datuk.

Antara 23 penerima dianugerahkan Darjah Datuk Setia Diraja Kedah (DSDK) membawa gelaran Datuk ialah, Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo; Pengarah Tanah dan Galian Kedah, Mohamad Che Nai; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Norizan Khazali; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Syed Shaharuddin Syed Abdullah; Pegawai Daerah Kuala Muda, Md Nordin Yahya.

Penerima lain termasuk, Pegawai Daerah Kubang Pasu, Mohd Fisol Md Noh; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Mohd Asri Redha Abdul Rahman; Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob; Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail; Timbalan Pengarah (Operasi), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim serta Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kedah, Tang Eng Kiang.

Selain itu, enam individu menerima Setia Sultan Sallehuddin Kedah (SSS) iaitu Presiden Pertubuhan Kasih Kedah, Tok Puan Norzieta Zakaria; Exco Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Dr Salmee Said serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Kedah, Halimaton Shaadiah Saad.

Seramai 14 individu menerima Setia Diraja Kedah (SDK) manakala dua penerima dikurniakan pingat kebesaran Setia Diraja Kedah (SDK Kehormat).