Tiada halangan Nur Fitri belajar di UKM

Nur Fitri
Nur Fitri
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan tidak akan menghalang penuntut pintar Matematik yang dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London, United Kingdom pada tahun 2015 untuk melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, Nur Fitri Azmeer Nordin, 27, yang sedang mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah diberi peluang dan tidak dihalang untuk melanjutkan pengajiannya di universiti berkenaan.

Menurutnya, penuntut terbabit didapati telah pun menjalani hukuman atas kesalahan dilakukannya sebelum ini dan tiada masalah untuk menyambung pengajiannya di peringkat lebih tinggi.

"Walaupun begitu, kita akan memantau pelakuan Nur Fitri dari terus menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat meskipun dia tidak dihalang meneruskan pengajian.

“Dalam hal ini, kita perlu melihat kepentingan kedua-dua pihak dan memang telah menjadi lumrah bahawa masyarakat masih memiliki keresahan terhadap Nur Fitri atas kesalahan dilakukannya sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Santuni Rakyat Peringkat Negeri Kedah di Aman Sentral, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pelakuan Nur Fitri akan dipantau demi menjaga keselamatan anak-anak supaya tidak menjadi mangsa dalam perkara ini.

Menurut Wan Azizah, kebiasaannya, kerajaan memiliki daftar terhadap individu yang didapati melakukan sebarang jenayah atau kesalahan sama ada dalam ataupun luar negara.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya mampu memantau setiap individu yang didapati mempunyai kesalahan serius dengan adanya data terkini berhubung perkara itu.

Sebelum ini, kemasukan Nur Fitri ke universiti itu menimbulkan kekecohan dalam kalangan netizen selepas satu ciapan di Twitter mendakwa dia sedang menyambung pengajian di UKM Bangi menjadi tular, baru-baru ini.

Melalui kenyataan Pusat Komunikasi Korporat UKM, universiti terbabit memilih Nur Fitri untuk melanjutkan pengajian di UKM disebabkan keupayaan luar biasa dan kecemerlangannya dalam pengajian.

UKM percaya, pendidikan mampu membantu transformasi individu dengan memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki diri bagi mencapai kejayaan tertinggi dalam kehidupan.

Sejak beberapa hari lepas, nama genius matematik itu kembali hangat diperkatakan di media sosial terutamanya Twitter dipercayai bermula dari satu ciapan mendakwa Nur Fitri sedang menyambung pengajiannya di UKM Bangi.

Bagaimanapun, situasi itu didakwa menimbulkan rasa kurang senang ramai pihak bahkan ada menasihatkan penduduk di Bangi berhati-hati kerana pesalah pedofilia kini berada di kawasan mereka.

Sebelum ini, penuntut pintar Matematik yang melanjutkan pelajaran di Imperial College di London menggemparkan negara apabila dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London, United Kingdom pada tahun 2015.

Mahkamah Southwark Crown menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Nur Fitri selepas dia mengaku bersalah terhadap 17 pertuduhan memiliki bahan pedofilia dengan niat untuk mengedarkannya.

Ketika ditahan, polis mendapati pelajar yang memegang biasiswa Matematik itu memiliki 601 video dan imej lucah kategori A iaitu kategori penyalahgunaan melibatkan aktiviti seksual kanak-kanak serta beratus bahan lucah kategori B dan C.

ARTIKEL BERKAITAN: UKM beri peluang Nur Fitri sambung pengajian