UKM beri peluang Nur Fitri sambung pengajian

Kenyataan media berkenaan Nur Fitri yang dikeluarkan UKM hari ini. (Gambar kecil, Nur Fitri)
A
A

BANGI - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memilih pelajar, Nur Fitri Azmeer Nordin yang didapati bersalah memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London untuk melanjutkan pengajian di universiti itu kerana keupayaan luar biasa dan kecemerlangannya dalam pengajian.

Menurut Pusat Komunikasi Korporat UKM, pihaknya percaya pendidikan boleh membantu transformasi individu dengan memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki diri bagi mencapai kejayaan tertinggi dalam kehidupan.

“Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang memberikan pendidikan tinggi kepada pihak yang ingin menyambung pelajaran, UKM memberi peluang kepada individu yang memohon berdasarkan kelayakan akademik yang ditetapkan oleh universiti itu untuk diterima masuk sebagai pelajar.

“Berkenaan dengan pelajar, Nur Fitri, beliau kini adalah pelajar UKM yang sedang mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah. Beliau mula mendaftar sebagai pelajar UKM semenjak tahun 2016 lagi bagi program pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

“Beliau dipilih melanjutkan pengajian di sini disebabkan keupayaan luar biasa dan kecemerlangannya dalam pengajian,” kata UKM dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, UKM berkata, ketika pemilihan untuk menerima Nur Fitri, pelbagai pandangan telah diambil kira dan dinilai.

“UKM juga jelas dan faham dengan sabitan kesalahan serta hukuman lepas yang telah dikenakan kepada beliau sebelum ini.

“Sepanjang pengajiannya di sini, beliau amat komited dalam pengajian dan tidak menunjukkan sebarang tingkah laku yang mencurigakan. UKM juga tidak pernah menerima sebarang aduan mengenai beliau sepanjang pengajian di UKM,” katanya.

Sebelum ini, Nur Fitri yang dianggap sebagai genius matematik, menggemparkan negara apabila beliau dipenjara sembilan bulan kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak.

Kes tersebut berlaku di London, United Kingdom pada tahun 2015 namun nama pelajar tersebut kembali hangat diperkatakan dalam media sosial terutamanya Twitter sejak beberapa hari lepas.

Memetik laporan portal MStar, semuanya bermula dengan satu ciapan mendakwa Nur Fitri sedang menyambung pengajiannya di UKM Bangi.

Situasi itu menimbulkan rasa kurang senang ramai pihak bahkan ada menasihatkan penduduk di Bangi berhati-hati kerana pesalah pedofilia kini berada di kawasan mereka.

Nur Fitri yang melanjutkan pelajaran di Imperial College di London dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Southwark Crown selepas dia mengaku bersalah terhadap 17 pertuduhan memiliki bahan pedofilia dengan niat untuk mengedarkannya.

Ketika ditahan, polis mendapati pelajar yang memegang biasiswa Matematik itu memiliki 601 video dan imej lucah kategori A iaitu kategori penyalahgunaan melibatkan aktiviti seksual kanak-kanak serta beratus bahan lucah kategori B dan C.

Pada tahun 2011, Nur Fitri pernah bertanding dalam Kejuaraan Olimpik Matematik di Amsterdam, Belanda.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia