Pelajar politeknik maut kereta dipandu terbabas

Anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di Chalok semalam.
A
A

SETIU - Seorang pelajar lelaki Politeknik Kota Bharu, Kelantan maut manakala empat rakannya cedera apabila kereta dipandu terbabas lalu melanggar sebuah kedai kosong di Kilometer 57, Chalok Kedai, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 10.40 malam, mangsa, Muhammad Ameerul Hadeem Muhammad Ameen memandu kereta jenis Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian, mangsa dikatakan cuba memotong kereta di hadapannya namun hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum merempuh rumah kedai kosong.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang beralamat di Kampung Bayam, Kota Bharu meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.

“Seorang daripada empat penumpang yang merupakan rakan sekampus mangsa parah manakala tiga lagi hanya cedera ringan dan mereka dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan,” katanya.

Zulkifli berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Setiu untuk bedah siasat.

Kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia