Lelaki curi tabung masjid diburu polis

Kejadian curi yang turut tular di laman Facebook.
Kejadian curi yang turut tular di laman Facebook.
A
A
A

REMBAU - Polis kini sedang memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pecah tabung sebanyak RM300 di Masjid Batu 17, Chermbong di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul berkata, kejadian itu disedari sekitar jam 2.15 petang selepas imam masjid berkenaan mendapati tabung masjid telah dipecahkan.

"Imam berkenaan seterusnya memaklumkan kejadian itu kepada setiausaha masjid.

"Setiausaha itu segera melihat rakaman CCTV di masjid tersebut dan mendapati seorang lelaki telah memecahkan tabung masjid di bahagian tempat solat wanita," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, semakan pada CCTV didapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.14 pagi, suspek yang berseluar jeans warna biru dan memakai baju tidak berkolar warna hitam membawa beg sandang warna coklat serta pemutar skru panjang.

"Suspek masuk ke dalam bahagian solat wanita dan menuju ke tabung sebelum mengumpil mangga tabung dengan pemutar skru.

"Bagaimanapun, semasa kejadian tiada saksi bebas nampak kejadian," katanya.

Anuar berkata, hasil pemeriksaan mendapati duit kertas di dalam tabung telah tiada dan hanya tinggal duit syiling.

Artikel Berkaitan:

"Mangga tabung telah dipecahkan dan ada kesan umpil. Terdapat dua tabung di dalam masjid tersebut dan dimaklumkan setiap hari Jumaat selepas solat Jumaat, ahli jawatankuasa masjid akan kumpul duit daripada tabung untuk masuk ke dalam dana masjid.

"Setiap minggu anggaran hampir RM300 akan dikumpul dalam setiap tabung masjid. Ini merupakan kejadian kedua di mana tabung masjid dipecahkan," katanya yang mengesahkan laporan berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Kejadian tersebut turut ditularkan di Facebook bagi mendapatkan kerjasama orang awam menyalurkan sebarang maklumat.