'Avengers' ajar persiapan hadapi bencana

Pasukan sukarelawan bergelar Avengers didik penduduk setempat di Jawa Barat persediaan hadapi bencana. - Foto Kiki Siregar/ Mediacorp
Pasukan sukarelawan bergelar Avengers didik penduduk setempat di Jawa Barat persediaan hadapi bencana. - Foto Kiki Siregar/ Mediacorp
A
A
A

LEMBANG - "Cepat, cepat! Lindungi kepala kamu!" jerit Tamim Suherman sambil menunduk dan meletakkan tangannya di kepala.

Lelaki berusia 70 tahun itu sedang mengadakan latihan dan mengajar sekumpulan suri rumah di sebuah kampung apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku gempa bumi.

Tamim ialah salah seorang ahli kumpulan sukarelawan bergelar Avengers yang membantu Agensi Bencana dan Mitigasi Jawa Barat dalam mendidik penduduk kampung tentang persediaan menghadapi bencana selain menyertai pasukan mencari dan menyelamat ketika kecemasan.

Beberapa orang penduduk kampung menubuhkan kumpulan tersebut pada tahun 2016 selepas menghadiri ceramah yang diadakan agensi berkenaan.

Selepas menghadiri ceramah, mereka mendapati walaupun Indonesia antara negara paling terdedah bencana, ramai penduduk masih tidak tahu bagaimana untuk bertindak ketika kecemasan.

Pasukan Avengers mahu membantu menyebarkan kesedaran. Mereka membuat lawatan ke sekolah dan komuniti dan mengajar bagaimana untuk menghadapi pelbagai kecemasan termasuk banjir, gempa bumi, tanah runtuh dan juga letusan gunung berapi.

"Kami memilih nama Avengers kerana mereka adiwira yang kuat dan sentiasa sedia membantu," kata ketua kumpulan itu, Yana Mulyana.

Setakat ini, pasukan sukarelawan itu mempunyai 15 ahli berusia antara 35 dan 70 tahun.

Artikel Berkaitan:

Mereka sentiasa bersedia 24 jam, akan berkhidmat jika diperlukan dan kadangkala di luar kawasan Jawa Barat. - CNA