Polis tumpaskan sindiket pinjaman tidak wujud

Ahmad Adnan (dua dari kanan) menunjukkan telefon bimbit dan komputer riba yang dirampas dalam Op Seagull di Kampar pada sidang media, semalam.
Ahmad Adnan (dua dari kanan) menunjukkan telefon bimbit dan komputer riba yang dirampas dalam Op Seagull di Kampar pada sidang media, semalam.
A
A
A

BATU GAJAH - Polis berjaya melumpuhkan sindiket pinjaman wang tidak wujud selepas menangkap 11 individu menerusi Op Seagull di Kampar membabitkan kerugian lebih RM100,000 Rabu lalu.

Operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah kira-kira jam 3 petang itu dilakukan di sebuah kondominium di Bandar Acasia yang dijadikan pusat khidmat panggilan.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, operasi berkenaan susulan aduan kes penipuan diterima pihaknya yang dibuat seorang mangsa iaitu lelaki berusia 23 tahun pada 14 Ogos lalu.

Menurutnya, berdasarkan aduan itu, mangsa berurusan dengan syarikat pinjaman berkenaan menerusi aplikasi Whatsapp sebelum diminta memasukkan sejumlah wang bagi tujuan pemprosesan pinjaman.

"Bagaimanapun, pinjaman ini sebenarnya tidak wujud, mangsa hanya menyedari tertipu selepas pinjaman dipohon tidak diperolehi dan wakil syarikat berkenaan gagal dihubungi sebaik menerima wang daripada mangsa.

"Risikan dijalankan kemudiannya berjaya membongkar kegiatan itu didalangi sebuah sindiket yang bergerak aktif sejak empat bulan lalu menyasarkan mangsa di sekitar Perak dan Pahang," katanya pada sidang media semalam.

Katanya, sembilan daripada 11 suspek yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 24 tahun bertindak sebagai operator sementara dua lagi ialah penyelia.

Artikel Berkaitan:

11 suspek yang ditahan kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
11 suspek yang ditahan kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Dengan tertangkapnya individu ini, polis berjaya menyelesaikan 90 kes yang dilaporkan di seluruh negara dengan tiga daripadanya membabitkan aduan mangsa dari Perak.

"Kesemua mereka ditahan direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Ahmad Adnan berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti perancang utama sindiket berkenaan.

"Dalam operasi ini, polis turut merampas 44 peralatan kebanyakannya telefon bimbit dan komputer riba yang digunakan bagi menjalankan kegiatan terbabit," katanya.