Siasatan kes rogol Exco Perak ikut prosedur

Razarudin
Razarudin
A
A
A

IPOH - Siasatan polis terhadap kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan Exco Kerajaan Perak dilakukan mengikut produser yang betul tanpa mengetepikan sebarang maklumat lain.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, ia dijalankan secara telus dan adil dengan mengambil kira semua aspek bagi memastikan kertas siasatan dilengkapkan.

"Kita tidak melakukan siasatan secara sambil lewa atau tangkap muat, sebaliknya sepanjang proses ini kita mendapat nasihat daripada Pengarah Pendakwaan Negeri dan Jabatan Peguam Negara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Exco Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong yang mendakwa polis tidak menjalankan siasatan secara profesional.

Wakil rakyat DAP itu memaklumkan kertas siasatan kes itu telah dipulangkan Pengarah Pendakwaan Negeri sebanyak tiga kali, namun dalam tempoh itu polis tidak memanggilnya untuk memberi kenyataan bagi melengkapkan lagi siasatan.

Mengulas lanjut Razarudin berkata, pemulangan kertas siasatan daripada pihak pendakwaan adalah prosedur biasa yang memerlukan pihaknya menyemak beberapa perkara bagi memastikan tiada kecacatan yang boleh menjejaskan pendakwaan.

"Bagi memastikan keadilan kepada kedua-dua pihak, kita menjalankan siasatan kes tersebut dengan teliti dan telus.

"Tuduhan mengatakan kita tidak profesional sama sekali tidak berasas sedangkan ia mengikut prosedur yang betul," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis telah memanggil tiga individu untuk dirakam percakapan susulan laporan polis dibuat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mengenai seorang individu yang diugut dan disogok wang berjumlah RM100,000.

"Ya kita ada terima laporan itu semalam dan setakat ini, tiga individu termasuk Datuk Ngeh (Koo Ham) telah diambil keterangan, siasatan sedang dijalankan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Exco Perak mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol