Jangan sertai dua himpunan haram: Polis

 Mazlan Lazim
Mazlan Lazim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis memberi amaran keras terhadap orang ramai untuk tidak menyertai dua perhimpunan haram di Little India, Brickfields di sini, bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

Perhimpunan Bantahan Tulisan Khat Sekolah Tamil dijangka akan diadakan pada jam 7 petang ini, manakala esok adalah himpunan Say No To Zakir Naik, Equal Right To Indians & Other Races pada jam 2 petang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya telah menerima notis permakluman daripada penganjur, namun kedua-dua notis tersebut didapati tidak lengkap dan gagal memenuhi keperluan undang-undang.

"Kita sekeras-kerasnya dan setegas-tegasnya tidak membenarkan himpunan itu dilangsungkan demi keselamatan.

"Himpunan itu juga tidak mendapat kelulusan daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kita seru pihak yang berkenaan untuk tidak berhimpun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Mazlan berkata, sekiranya penganjur dan peserta tetap berdegil untuk berhimpun, tindakan akan diambil dengan merekod keterangan serta menangkap dan disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Katanya, bagi mengelakkan insiden tidak diingini, pihaknya sudah mengatur gerak anggota di kawasan tersebut.

Selain itu, tiga laluan utama iaitu Jalan Tun Sambanthan, Jalan Bank Rakyat dan Jalan Lebuhraya Persekutuan menghala ke Little India akan ditutup dan dilencongkan untuk tujuan pemeriksaan serta keselamatan.

Artikel Berkaitan:

"Saya tegaskan sekali lagi, usah berhimpun kerana isu ini telah pun selesai dan kita tak mahu ianya mencetuskan kemarahan oleh pihak lain," katanya.