Cecair rokok elektronik bernilai RM1.4 juta dirampas

Bekas cecair rokok elektronik yang disyaki mengandungi nikotin berjaya dirampas menerusi operasi bersepadu yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi. - Foto KKM
Bekas cecair rokok elektronik yang disyaki mengandungi nikotin berjaya dirampas menerusi operasi bersepadu yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi. - Foto KKM
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 66,988 botol atau bekas cecair rokok elektronik yang disyaki mengandungi nikotin berjaya dirampas menerusi operasi bersepadu yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) pada 20 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, nilai rampasan yang dijalankan di seluruh negara itu dianggarkan sebanyak RM1.4 juta.

"Operasi yang dijalankan ini dilaksanakan hasil aduan dan maklumat yang diterima oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) berkenaan penjualan cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin kepada pelajar sekolah.

"Penguatkuasaan yang telah dijalankan berkaitan isu pelajar sekolah menghisap rokok elektronik adalah dengan menggunakan peruntukan di bawah Akta Racun 1952 (Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984) iaitu kesalahan menjual cecair atau sebarang persediaan yang mengandungi nikotin sebagai bahan yang tidak didaftarkan sebagai ubat dan Akta Makanan 1983 (Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004) Peraturan 13 iaitu larangan penggunaan dan pemilikan tembakau termasuk rokok elektronik di kalangan orang belum dewasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebarang persediaan yang mengandungi nikotin merupakan Racun Kumpulan C adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952.

"Pembekalan dan penjualan sebarang persediaan yang mengandungi nikotin hanya dibenarkan oleh ahli farmasi yang berlesen dan pengamal perubatan berdaftar bagi tujuan rawatan.

"Kesemua kes akan disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 66,988 botol dirampas dalam operasi berkenaan. -Foto KKM
Sebanyak 66,988 botol dirampas dalam operasi berkenaan. -Foto KKM

Beliau turut memberi amaran bahawa sekiranya remaja di bawah umur didapati melakukan kesalahan merokok boleh didenda tidak melebihi RM1,000.

"Di bawah Peraturan 13, PPKHT 2004 Orang Belum Dewasa adalah dilarang merokok, mengunyah, membeli atau mempunyai dalam milikannya apa-apa hasil tembakau, sama ada untuk kegunaan sendiri atau tidak.

"Orang Belum Dewasa yang didapati melakukan kesalahan ini boleh dirampas apa-apa hasil tembakau termasuk cecair rokok elektronik di dalam milikan mereka dan akan menerima notis kesalahan serta boleh didenda tidak melebihi RM1,000," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan agar pengilang, pengedar atau penjual menghentikan serta merta sebarang aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan sebarang persediaan termasuk cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin.

"Orang ramai juga dinasihatkan bahawa sebarang bentuk tabiat merokok sama ada menggunakan rokok konvensional atau rokok elektronik adalah membahayakan kesihatan.

"Pihak ibu bapa juga diminta untuk sama-sama mengawasi anak-anak agar tidak terlibat di dalam masalah penggunaan rokok serta rokok elektronik," katanya.

Pada masa sama, Noor Hisham berkata, penggunaan rokok elektronik sebagai rawatan berhenti merokok masih memerlukan kajian lanjut dan sehingga kini pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia belum mengeluarkan mana-mana kenyataan berkaitan perkara itu.

"Mereka yang ingin berhenti merokok adalah diminta untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Kesihatan negeri terdekat ataupun melayari laman web www.jomquit.moh.gov.my.

"Langkah-langkah yang diambil ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesalahan berkaitan aktiviti pengedaran dan penjualan sebarang bentuk persediaan yang mengandungi nikotin," katanya.