Enam tindakan selesaikan isu orang asli di Kuala Koh

Dr Wan Azizah
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa semua pihak untuk bekerjasama dalam menyelesaikan isu-isu yang dihadapi Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan, bagi memastikan perkara yang tidak diingini berulang.

Dalam kenyataan, Pejabat Timbalan Perdana Menteri memaklumkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dikehendaki memastikan semua orang asli di Kuala Koh sama ada yang baru lahir atau golongan muda dan tua didaftarkan supaya mereka tidak ketinggalan dalam mendapat manfaat sebagai warganegara Malaysia.

Ia adalah antara enam tindakan yang dipersetujui pada mesyuarat penyelarasan tindakan susulan ke atas isu Orang Asli Kuala Koh yang dipengerusikan Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di sini hari ini.

Selain itu, antara tindakan yang dipersetujui oleh mesyuarat tersebut ialah mengenai keperluan Kementerian Kesihatan meneruskan program vaksinasi, nutrisi dan penjagaan kesihatan kepada masyarakat orang asli di Kuala Koh.

Mesyuarat juga bersetuju Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memainkan peranan lebih aktif bagi mengenal pasti peluang pekerjaan baru kepada penduduk orang asli di Kuala Koh supaya mereka mampu berdikari dan tidak mengharapkan sumbangan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semata-mata.

Jakoa dan agensi berkaitan juga perlu bekerjasama antara satu sama lain bagi memastikan bekalan air dan elektrik di Kampung Kuala Koh disediakan secepat mungkin, menurut kenyataan itu.

Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan pula perlu memastikan Projek Kelas Khas (ProKHAS) bagi kaum Orang Asli Bateq diwujudkan segera.

Selain itu, turut dipersetujui ialah mengenai kerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan terutamanya Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd dan pegawai jajahan Gua Musang perlu ditingkatkan untuk memastikan kebajikan dan masa depan Orang Asli Kuala Koh lebih terjamin.

Mesyuarat tersebut adalah susulan daripada mesyuarat penyelarasan bersama NGO dan agensi kerajaan yang diadakan pada 18 Jun lepas.

Ia bagi mengetahui status terkini penyediaan bekalan air dan elektrik, status pewujudan Pusat Pembelajaran Alternatif (ALC)/Sekolah Komuniti (CLC), status program vaksinasi dan pendaftaran kelahiran secara bergerak dan status penyediaan peluang pekerjaan.- Bernama