Gojek: Kerajaan akan teliti isu berbangkit

Anthony Loke (kiri) melancarkan Pas Mutiara untuk bas dan feri Pulau Pinang di Pengkalan Weld tadi.
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pusat akan meneliti semua isu berbangkit berhubung perkhidmatan teksi motosikal atau dikenali sebagai Gojek sebelum ia dilaksanakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kabinet memberi tempoh selama sebulan kepada kementerian untuk mengkaji atau merangka perundangan dan mekanisme bagi menangani semua isu yang dibangkitkan.

Menurutnya, tumpuan utama kerajaan adalah mengenai keselamatan pengguna jalan raya termasuk penumpang yang akan menggunakan perkhidmatan itu kelak.

"Kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan keselamatan pengguna jalan raya berhubung cadangan Gojek ini. Kita akan meneliti isu-isu berbangkit lain termasuk ketidaksesuaian budaya.

"Seperti yang diutarakan beberapa pihak tentang ketidaksesuaian apabila penunggang lelaki membawa penumpang wanita. Semua itu akan kita lihat semula dan pertimbangkan.

"Kita mempunyai tempoh kira-kira sebulan untuk merangka perundangan dan mekanisme sebelum Gojek diperkenalkan selepas Kabinet meluluskannya baru-baru ini," katanya pada sidang media tadi.

Terdahulu, Anthony Loke yang diiringi Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow melancarkan Pas Mutiara untuk bas dan feri Pulau Pinang di Pengkalan Weld di sini.

Tambahnya, kelulusan oleh Kabinet terhadap Gojek dibuat secara prinsip selepas melihat banyak kebaikannya seperti boleh menjana pendapatan rakyat selain satu perkembangan positif.

"Keputusan ini bukan dibuat oleh saya seorang yang mana ia berlandaskan keputusan kolektif daripada Kabinet.

"Bagaimanapun, kita akan ambil kira dan lihat cara terbaik untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dalam pelaksanaan perkhidmatan ini.

"Saya bukan buat pusingan U atau berubah pendirian selepas kenyataan saya ini. Saya masih ingat apa yang saya ucapkan dalam Parlimen yang mana, saya akui pernah menolak cadangan pelaksanaan Gojek sebelum ini.

"Tetapi seperti yang saya katakan, ia bukan pendirian saya seorang, ia keputusan kolektif," katanya.

Beliau berkata, semua pihak dan kementerian berkaitan perlu akur dan mencari mekanisme terbaik untuk melaksanakan cadangan tersebut.

"Saya menganggap ini sebagai satu peluang yang ditukar daripada satu cabaran. Pelaksanaan ini bukannya senang, bukan hari ini lulus, esok dah boleh laksanakan. Sebab itu saya melihat secara positif, iaitu menukar dari cabaran kepada peluang.

"Mungkin menerusi pengenalan perkhidmatan ini, kita dapat mendidik pengguna motosikal supaya menunggang dengan lebih bertanggungjawab dan dalam masa sama lebih banyak ciri-ciri keselamatan dalam aspek menunggang motosikal dapat diperkenalkan," katanya.

Terdahulu, Kabinet meluluskan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan Gojek dan ia dilihat akan memberi peluang untuk anak muda terutamanya 'mat motor' mendapatkan pekerjaan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia juga dapat membantu masyarakat mendapatkan pengangkutan awam pada kos yang rendah tanpa perlu menghadapi kesesakan trafik yang teruk.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia