Projek naik taraf jalan Sabak Bernam-Kuala Selangor dipantau: MB

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan kerja naik taraf antara jalan Sabak Bernam-Kuala Selangor dikemas kini dua bulan sekali bagi membolehkan kerajaan negeri membantu kelancaran projek di bawah Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau akui masalah ketidakselesaan pengguna disebabkan projek itu dan hampir setiap hari kerajaan negeri menerima aduan sama.

Menurutnya, namun beberapa langkah diambil bagi mengurangkan kesan gangguan termasuk menghentikan kerja naik taraf pada musim perayaan.

"Saya akui ketidakselesaan itu berlaku namun hal itu tidak boleh dielakkan, projek perlu diteruskan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pada masa akan datang.

"Disebabkan itu, kerajaan negeri ambil laporan projek setiap dua bulan, teliti dan cuba bantu seperti isu pengambilan tanah bagi memastikan kelancaran projek bagi membolehkan ia disiapkan dalam kadar segera," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai keadaan jalan Sabak Bernam-Kuala Selangor yang teruk disebabkan masalah penyelenggaraan.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Amirudin berkata, terdapat beberapa aspek yang dilihat seolah-olah menyusahkan pengguna, namun apabila melibatkan aspek keselamatan perkara itu harus dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Jika dulu boleh melintas hanya di depan rumah tapi kini perlu berjalan sejauh satu kilometer untuk buat pusingan U, itu antara yang perlu dilakukan untuk elakkan kemalangan.

"Malah, kontraktor lapangan juga sentiasa kemas kini keberkesanan langkah keselamatan diambil yang banyak membantu mengurangkan risiko kemalangan," katanya.