Guna media sosial secara berhemah: MB Negeri Sembilan

Aminuddin (tiga dari kiri) menyampaikan Jalur Gemilang kepada wakil jabatan sempena Bulan Kebangsaan.
Aminuddin (tiga dari kiri) menyampaikan Jalur Gemilang kepada wakil jabatan sempena Bulan Kebangsaan.
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menasihatkan kakitangan kerajaan supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan beretika.

Beliau berkata, penyebaran fitnah yang berpotensi membentuk persepsi negatif kepada pemimpin dan kerajaan di mata rakyat haruslah dihentikan serta-merta.

"Tidak dinafikan kepentingan media sosial yang turut menjadi tulang belakang dalam penyaluran maklumat, dasar dan agenda kerajaan serta menjadi jaringan komunikasi penting antara rakyat dan pemimpin.

"Oleh sebab itu saya harap kemudahan ini dapat digunakan sebaik mungkin," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Kakitangan Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Sementara itu beliau berkata, penjawat awam perlu sentiasa fokus dan berusaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada golongan sasar.

Menurutnya, fokus penyampaian kepada rakyat bukan sekadar memberi maklumat secara fizikal semata-mata, sebaliknya perlu pastikan ada nilai tambah kepada rakyat serta memastikan projek dirancang sampai kepada rakyat.

"Bagi mengukur kejayaan sesuatu penyampaian, kepuasan hati pelanggan amatlah penting.

"Jika pelanggan berpuas hati, warga kerja akan berasa gembira sekali gus dapat mengurangkan aduan dan ketidakpuasan ke atas perkhidmatan kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan sistem penyampaian jabatan kerajaan di negeri ini, Aminuddin berkata, meskipun tidak berpuas hati secara keseluruhannya, namun menunjukkan peningkatan.

"Saya berharap peningkatan ini diteruskan. Saya yakin penjawat awam mempunyai semangat yang tinggi untuk meningkatkan mutu perkhidmatannya kepada rakyat," katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan Jalur Gemilang kepada 18 jabatan di Wisma Persekutuan sempena Bulan Kebangsaan.