FAM puji inisiatif PFA selesaikan isu tunggakan gaji

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

KESUNGGUHAN pengurusan baharu Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dalam menyelesaikan isu gaji seharusnya dicontohi pasukan lain dalam memartabatkan lagi industri bola sepak negara.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan, memuji inisiatif yang dilaksanakan oleh pengurusan baharu PFA yang diketuai presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji yang membelenggu skuad Singa Utara sejak musim 2016.

“Bagi pihak FAM, usaha dan kesungguhan pengurusan baharu PFA ini wajar dipuji kerana ia secara langsung dapat mengelak daripada sebuah lagi pasukan/kelab terkubur atau terpaksa ditutup ekoran tiada pihak yang mahu tampil menyelamatkan masalah kewangan yang dihadapi sebelum ini,” jelas Stuart.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan perbincangan antara FAM, PFA dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang berlangsung semalam telah mencapai persetujuan dengan PFA akan cuba menyelesaikan perkara berkenaan dalam tempoh masa 60 hari yang telah ditetapkan.

Sekiranya gagal, PFA tidak akan menerima wang agihan dana daripada FAM dan MFL bagi musim 2019 dan wang berkenaan akan digunakan untuk menyelesaikan tunggakan gaji tersebut.

MFL dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan Perlis dibenarkan beraksi dalam Liga Premier 2019, namun PFA perlu menyelesaikan masalah tunggakan gaji sedia ada.

Dalam perkembangan sama, Stuart memaklumkan FAM sedang meneliti mekanisme terbaik bagi membantu nasib pemain-pemain daripada beberapa pasukan yang tidak lagi berada dalam sistem bola sepak Liga Malaysia untuk mendapatkan semula gaji mereka.

Beberapa pasukan sebelum ini mengambil keputusan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia seperti Kuantan FA, Marcerra United, Terengganu City FC, Hanelang FC dan kesemua pasukan berkenaan dilaporkan masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji dengan bekas pemain mereka walaupun telah diberi amaran oleh FAM untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“FAM akan cuba berbincang secara terus dengan pihak tertinggi persatuan bola sepak negeri di mana kelab-kelab ini bergabung serta bertemu individu penting dalam kelab-kelab berkenaan bagi menyelesaikan juga masalah ini,” tegas Stuart.- Bernama