Malaysia sapu tujuh emas hari pertama Kejohanan Basikal Trek

Foto BERNAMA
Foto BERNAMA
A
A
A

PRESTASI skuad para berbasikal negara berada pada tahap memberangsangkan dengan aksi cemerlang yang ditampilkan apabila menggondol tujuh emas daripada lapan acara yang dipertandingkan pada Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix Asia Tenggara 2019 dan Kejohanan Para Trek 1 2019 di Velodrom Nasional hari ini.

Tujuh emas dimenangi menerusi acara 1 kilometer (km) ujian masa lelaki kategori C1, C3, C4, C5, dan 1 km ujian masa lelaki kategori B, serta 500 meter (m) ujian masa perempuan kategori C3 dan 1km ujian masa perempuan kategori B.

Mohd Yusuf Hafizi Shahruddin muncul penyumbang pingat pertama negara menerusi acara 1km ujian masa kategori C1 selepas mencatat masa 1 minit 17.986 saat, diikuti Muhammad Adi Raimie Amizazahan (1km ujian masa C3), Mohd Najib Turano (1km ujian masa C4) dan Zuhairie Ahmad Tarmizi (1km ujian masa C5).

Mohd Afiq Afify Rizan dan jurumudi, Mohd Faizal Mohamed Noh turut menyumbang pingat emas dalam acara ujian masa kelas tandem buta (kategori B) dengan 1:03.867s.

Turut cemerlang, pelumba wanita para negara Nur Faizah Aziz yang merekod masa 28.409s dalam cara 500m ujian masa (C3) dan Nur Suraiya Muhammad Zamri dan Nurul Suhada Zainal dalam acara ujian masa kelas tandem dengan 28.409s.

Indonesia meraih emas tunggal acara 1km ujian masa kategori C2 menerusi Habib Shaleh dengan Malaysia tidak menyertai acara itu.

Jurulatih skuad berbasikal para negara Salehuddin Mohd Noh ketika ditemui berkata selain meraih pingat emas pada kejohanan kali ini, beliau turut mengharapkan pelumba negara mampu mengutip mata untuk menambah slot ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Indonesia meraih emas tunggal acara 1km ujian masa kategori C2 menerusi Habib Shaleh dengan Malaysia tidak menyertai acara itu.

Artikel Berkaitan:

“Persoalannya bukan hanya emas yang kita kejarkan (tapi) yang penting adalah pungutan mata untuk dapatkan slot tambahan ke (Sukan) Paralimpik Tokyo 2020.

“Setakat tahun 2018, selepas daripada bulan Disember kita sudah dapat satu slot untuk Paralimpik 2020 jadi kita harap dapat tambahan (slot) itu sehingga hujung tahun ni. Bulan Jun tahun depan adalah tarikh akhir untuk ‘collection point’ bagi Paralimpik Tokyo 2020,” katanya.

Salehuddin turut berharap agar sejarah dapat dicipta menerusi pelumba wanita untuk mencapatkan slot ke Sukan Paralimpik Tokyo memandangkan Malaysia tidak pernah mendapat slot dalam kategori itu.- Bernama