'Semua pihak kena pertahan tulisan jawi'

Mohamad Nordin Ibrahim
Mohamad Nordin Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua pihak perlu mempertahankan usaha kerajaan untuk memperkenalkan tulisan jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat sebagai usaha untuk mengembalikan kegemilangan warisan bangsa itu.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, sejarah telah membuktikan bahawa tulisan jawi menjadi tulisan rasmi masyarakat Melayu sejak dahulu.

Justeru menurutnya, adalah wajar usaha untuk memperkenalkan tulisan itu disokong semua pihak khususnya masyarakat Melayu dan Islam.

"Saya tidak melihat mengapa pengenalan tulisan jawi ini perlu dibantah sedangkan apa yang diajar itu hanyalah tulisan, bukannya melibatkan agama.

"Tulisan jawi ini merupakan warisan tunjang masyarakat Melayu, kalau kita orang Melayu boleh belajar seni tulisan Cina dan India mengapa tidak mereka.

"Jadi, saya harap usaha ini dilihat dalam perspektif positif dan jangan sesekali kaitkan dengan agama," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Nordin turut memberitahu, Jakim mengambil inisiatif dengan mewajibkan semua kakitangan di bawah jabatan itu diwajibkan memakai tanda nama atau name tag tulisan jawi setiap hari Jumaat.

"Inisiatif yang baharu diperkenalkan awal bulan ini (Ogos) merupakan salah satu usaha kita untuk memperkasakan kembali tulisan jawi.

Artikel Berkaitan:

"Buat permulaan kita hanya wajibkan tanda nama ini dipakai setiap hari Jumaat," katanya.