UM nafi lantik syarikat, individu sebagai orang tengah

UM
UM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Universiti Malaya (UM) hari ini menegaskan pihaknya tidak pernah melantik syarikat atau individu sebagai orang tengah atau proksi untuk sebarang projek atau tender berkaitan universiti itu.

Menurut UM, ini susulan aduan beberapa syarikat dan kontraktor yang mendakwa universiti itu mengeluarkan tender berhubung projek menaik taraf kemudahan dan pembinaan bangunan di UM.

Aduan itu mengenai dokumen perolehan tender yang menggunakan kepala surat UM serta ditandatangani seorang bernama "Prof Madya Dr Farishal Abdul Kadir".

"Pihak UM dengan ini menegaskan tiada penama di atas berkhidmat di UM dan kami juga tidak pernah melantik mana-mana syarikat atau individu sebagai orang tengah (proksi) untuk sebarang projek perolehan tender UM,” demikian menurut universiti itu dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, UM menasihati mana-mana pihak yang menerima dokumen perolehan tender bagi sebarang projek khususnya projek menaik taraf kemudahan UM dan jika ia ditandatangani penama terbabit agar membuat semakan lanjut dengan memajukan aduan dan pertanyaan kepada corporate@um.edu.my.

UM tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang didapati menggunakan nama dan logo universiti itu serta akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk undang-undang, demikian menurut kenyataan berkenaan.- Bernama

Artikel Berkaitan: