'Perbetulkan nawaitu, berintegriti ketika melakukan sesuatu perkerjaan'

APA jua pekerjaan atau profesion kerja yang dilakukan, tetapkan 'kiblat' yang betul untuk mengabdikan diri kepada Ilahi. -Gambar hiasan
A
A

PADA 11 Ogos lalu, umat Islam menyambut satu lagi perayaan terbesar iaitu Hari Raya Aidiladha. Ramai yang mengetahui asal usul hari kebesaran itu rentetan kisah Nabi Ibrahim AS diperintahkan oleh ALLAH SWT untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS.

Meskipun penyembelihan tersebut tidak berlaku dan digantikan dengan seekor kibas, ada hikmah tersurat dan tersirat di sebalik kisah berkenaan.

Setelah pembukaan kota Makkah pada tahun ke-8 Hijrah, umat Islam bebas menunaikan haji dan umrah di Tanah Suci tanpa sebarang gangguan. Pembukaan Kota Makkah oleh Nabi Muhammad SAW menjadi satu lagi peristiwa bersejarah yang mengembalikan Makkah kepada puncak kegemilangan.

Banyak ibrah yang boleh dirakam ketika ibadah haji dan korban, antaranya muncul satu semangat dan iltizam baharu menjana perubahan buat diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Mengorbankan tenaga, wang dan masa untuk membina negara sejahtera dan makmur untuk semua merupakan satu usaha suci dan murni.

Untuk para pekerja sama ada di sektor awam atau swasta, mereka sebenarnya membuat pengorbanan hampir setiap hari demi memastikan harapan kerajaan, syarikat dan negara tercapai dengan jayanya. Tentunya banyak perit dan jerih pengorbanan yang terpaksa diredah. Pastinya ia bukan satu tindakan popular.

'Kiblat' yang tepat

Selain itu, dalam ibadah haji, kita akan mengadap satu kiblat yang sama iaitu Kaabah. Dalam konteks pekerjaan, memperbetulkan nawaitu, mustahak demi memastikan kita berada pada 'kiblat' yang tepat.

Kiblat itu merujuk kepada niat untuk mengabdikan diri kepada ALLAH SWT melalui pekerjaan yang didasari dengan integriti dan sifat bersih. Jemaah haji yang berpakaian putih merupakan satu simbol kesucian.

Justeru, memperbetulkan kiblat pekerjaan daripada cita-cita materialisme seperti mahukan kenaikan pangkat dan gaji lebih besar kepada mahu berbakti setulus hati dengan pengabdian kepada Ilahi ialah satu tuntutan yang perlu dihayati.

Moga-moga pekerjaan yang didasari niat murni itu akan membuahkan hasil terbaik untuk majikan, masyarakat dan ibu pertiwi. Naik pangkat sebenarnya hanya sebagai bonus kepada kerja yang dilakukan dengan kualiti tinggi.

Jemaah haji juga menggunakan satu warna pakaian yang sama iaitu putih. Ia berupa satu mesej sinergi, solidariti dan kesaksamaan ciri demi mencapai satu matlamat yang sama iaitu menuju Ilahi.

Dalam konteks pekerjaan, sinergi dan kebersamaan penting dalam mencipta kejayaan luar biasa. Kesatuan niat dan tindakan akan membolehkan segala perbezaan, lebih-lebih lagi yang remeh-temeh dapat diketepikan demi mencapai hasrat yang lebih besar dan murni. Segala perbezaan yang ada tidak menjadi penghalang, bahkan menjadi satu resipi yang baik dalam meraikan kepelbagaian.

Apa yang pasti, ALLAH SWT menunjukkan betapa ibadah ulung itu menyimpan pelbagai hikmah dan ibrah buat mereka yang mahu berfikir dan mencipta islah.

***Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin ialah Pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Prof Dr Zainuddin Abdul Manan pula merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UTM.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia