Sebutan rayuan kes hasutan Khalid Samad 30 September

Khalid Samad
Khalid Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebutan bagi pihak pendakwaan menarik balik rayuan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad daripada tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 2014, ditetapkan pada 30 September depan.

Mengikut senarai kes mahkamah, kes Khalid, 62, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan ditetapkan hari ini untuk sebutan penarikan balik rayuan perayu (pihak pendakwaan) di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bagaimanapun kes itu telah dilapangkan hari ini dan ditetapkan untuk sebutan pada 30 September.

Pada 7 Jun 2018, Hakim Mahkamah Sesyen Rohatul Akmar Abdullah telah melepas dan membebaskan Khalid tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung kuasa eksekutif MAIS, lima tahun lepas.

Rohatul Akmar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap Khalid.

Dalam penghakimannya, Rohatul Akmar berkata setelah meneliti perkataan dan perenggan ucapan dalam kes ini, mahkamah berpendapat perkataan yang dikeluarkan oleh tertuduh semasa kejadian itu adalah bersifat satu cadangan untuk mengkaji kuasa MAIS.

"Cadangan dan pandangan itu dibenarkan dan berpatutan. Oleh itu, tidak selamat untuk mengarah tertuduh membela diri. Maka mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan ini," katanya.

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut itu di kawasan lobi Parlimen pada 11.30 pagi, 17 Jun 2014 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 12 saksi pendakwaan pada perbicaraan yang bermula 12 Jun 2016.- Bernama