Kerajaan baharu Sudan angkat sumpah

Jeneral Abdel Fattah al-Burhan mengangkat sumpah di Khartoum hari ini. -Foto AFP
Jeneral Abdel Fattah al-Burhan mengangkat sumpah di Khartoum hari ini. -Foto AFP
A
A
A

KHARTOUM - Sudan hari ini mengambil langkah peralihan kepada pemerintahan awam dengan beberapa ahli Majlis Kedaulatan mengangkat sumpah selain pelantikan Abdalla Hamdok sebagai Perdana Menteri negara itu.

Badan bersama itu akan menggantikan Majlis Peralihan Tentera (TMC) yang mengambil alih kerajaan selepas protes selama beberapa bulan yang menggulingkan bekas Presiden, Omar al-Bashir pada April lalu.

Jeneral Abdel Fattah al-Burhan yang memimpin TMC mengangkat sumpah sebagai Pengerusi Majlis Kedaulatan tersebut.

Beliau akan menjadi pemimpin Sudan untuk tempoh 21 bulan daripada 39 bulan tempoh peralihan itu dan bakinya akan diambil alih pemimpin awam.

Semalam, pemimpin tentera dan kumpulan protes Sudan menubuhkan Majlis Berdaulat terdiri daripada 11 anggota untuk memerintah negara itu bagi tempoh peralihan selama tiga tahun.

Jurucakap Majlis Peralihan Tentera memaklumkan badan bersama itu turut dianggotai enam orang awam.

Pada Sabtu lalu, kedua-dua belah pihak itu menandatangani perjanjian perkongsian kuasa yang membuka jalan kepada penubuhan badan bersama itu. - Agensi

Artikel Berkaitan: