Trump pertimbang potong cukai pendapatan untuk rangsang ekonomi AS

Trump
Trump
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan mempertimbang langkah memotong cukai pendapatan sebagai antara pilihan untuk merangsang ekonomi susulan kebimbangan berlaku kemelesetan pada masa akan datang, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Trump berkata, langkah itu sesuatu yang difikirkan sebagai tambahan kepada beberapa potongan lain untuk cukai ke atas jualan saham.

"Ramai orang ingin melihat perkara ini berlaku dan ia begitu memberi kesan kepada para pekerja di negara kita," katanya semalam.

Sehari sebelum itu, Rumah Putih menafikan bahawa langkah memotong cukai pendapatan sedang dipertimbang.

Bagaimanapun Trump berkata, perkara terbesar yang boleh dilakukan untuk merangsang ekonomi ialah jika Rizab Persekutuan memotong kadar faedah sekurang-kurangnya 100 mata asas dan memulakan pelonggaran kuantitatif, dengan mengatakan kesan itu akan mewujudkan satu pertumbuhan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

Pelonggaran kuantitatif ialah dasar kewangan yang menyaksikan sebuah bank pusat membeli sejumlah bon kerajaan atau aset kewangan lain yang telah ditentukan sebelumnya bagi menyuntuk kecairan langsung ke dalam ekonomi.

Kebimbangan memuncak bahawa AS mungkin semakin menghampiri kemelesetan susulan perang perdagangan dengan China yang tidak berkesudahan dan penunjuk ekonomi yang membimbangkan sudah timbul pada minggu lepas yang kebiasaannya mendahului kemelesetan.

Trump terus menegaskan bahawa ekonomi negara itu berada 'dalam keadaan yang hebat.'

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa 'kemelesetan' ádalah satu perkataan yang tidak sesuai. Ia hanya satu perkataan yang sesetengah orang dan media cuba timbulkan kerana mereka begitu ingin menyaksikan ia berlaku.

"Kita masih jauh daripada kemelesetan," katanya. - Bernama