Lengkapi pelajar dengan kemahiran sesuai, perlu

Datuk Dr Yusof Yacob
Datuk Dr Yusof Yacob
A
A
A

KOTA KINABALU - Sistem pendidikan perlu memastikan bahawa para pelajar dilengkapi dengan kemahiran yang perlu dan sesuai untuk menyertai pasaran tenaga kerja dan membangunkan negara, kata Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob.

Menurutnya, pendidikan menjadi keutamaan yang amat penting dalam semua kemajuan teknologi serta perniagaan dan semasa idea-idea inovatif berkembang dengan pesat, Malaysia tidak boleh tertinggal di belakang lain-lain negara, terutama di rantau Asia Tenggara.

"Graduan tidak lagi boleh menunggu pekerjaan datang kepada mereka, sebaliknya mereka sendiri perlu mencipta peluang itu.

"Pelan Induk Pendidikan Malaysia 2015-2025 dirangka bagi mencetuskan idea Ekosistem inovatif sebagai salah satu platform untuk meningkatkan kecekapan tenaga kerja negara di masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di majlis perasminan Persidangan Antarabangsa Malaysia berhubung Strategi Akademik dalam Pengajaran Bahasa Inggeris (My_CASELT) ke-enam, dan Ekspo Rekaan, Inovasi dan Rekabentuk Bahasa (LIID) Ke-tiga 2019 di sini.

Teks ucapan dibacakan Pembantu Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad dalam ucapan aluannya berkata, penguasaan bahasa serta keupayaan komunikasi efektif membolehkan interaksi lebih baik dan pantas di seluruh dunia.

Beliau berkata, sebagai bahasa perniagaan antarabangsa, Inggeris adalah bahawa yang perlu dipelajari dan dikuasai. - Bernama

Artikel Berkaitan: