MOA jelaskan kekeliruan isu daging, kubis bulat

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) meminta orang ramai tidak keliru dengan isu kawalan import untuk daging dan kubis bulat seperti yang terdapat dalam laporan Kajian Semula Pasaran Sektor Makanan di bawah Akta Persaingan 2010 yang dikeluarkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) pada 6 Ogos lalu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata, secara dasarnya kementeriannya menyambut baik beberapa saranan yang boleh meningkatkan kecekapan pengeluaran agro makanan negara yang terdapat dalam laporan itu.

Bagaimanapun, penjelasan lebih lanjut perlu dilakukan berikutan laporan berkenaan telah diberikan liputan meluas daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan mendapat perhatian dari media arus perdana serta media sosial.

“Kubis bulat merupakan antara keluaran pertanian yang dikenakan kawalan import di mana kelulusan kuota import Approved Permit (AP) diluluskan berdasarkan Perintah Duti Kastam 2017.

“Berdasarkan kepada analisis tren harga kubis bagi tempoh 2008-2019, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat kenaikan harga pada bulan yang dilaporkan oleh MYCC.

"Namun, perubahan harga itu berlaku pada masa tertentu sahaja bergantung kepada faktor seperti perubahan musim penanaman di antara bulan Mei hingga Julai di negara pengeluar, kadar tukaran mata wang selain peningkatan dalam permintaan pada musim-musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyentuh pula mengenai isu berkaitan dengan bekalan daging yang hanya fokus kepada dua negara sumber iaitu India dan Australia, MOA telah membuka ruang pengimportan daging dari beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Pakistan, Brazil dan New Zealand serta negara-negara Asia Tengah bagi memastikan kecukupan bekalan daging dalam negara (Food Security).

Selain itu juga terdapat 53 abatoir dari seluruh dunia yang boleh membekalkan daging ke Malaysia buat masa ini.

“Dalam pengimportan daging, semua syarikat yang layak boleh memohon untuk mengimport daging dari mana-mana negara sumber, tertakluk kepada syarat sanitari dan Fitosanitari (SPS) dan garis panduan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Untuk makluman,pihak kementerian juga dalam usaha untuk meminda Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] bertujuan untuk memperluaskan fungsi dan bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

"Perluasan kuasa ini tidak akan menghadkan kuasa MAQIS kepada pintu masuk sahaja tetapi juga di luar pintu masuk,pusat dan stesen kuarantin,” katanya.

Jelas Mohamad Sallehuddin, pihaknya turut menyarankan supaya satu kajian susulan dilaksanakan untuk mengenalpasti langkah-langkah terbaik yang boleh diambil oleh kerajaan bagi menangani isu kecekapan keseluruhan rantaian pemasaran makanan termasuk kajian ke atas rantaian pemasaran input pertanian.