Yew Yin perlu dikenakan hukuman setimpal

Bekas anggota tentera membuat laporan polis di IPD Machang bagi menuntut tindakan tegas terhadap Yew Yin.
Bekas anggota tentera membuat laporan polis di IPD Machang bagi menuntut tindakan tegas terhadap Yew Yin.
A
A
A

MACHANG - Persatuan bekas tentera menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dengan mengenakan hukuman yang setimpal terhadap seorang ahli perniagaan yang menghina maruah anggota tentera secara terang-terangan dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Kelab Veteran Komando Malaysia Cawangan Kelantan, Rosdi Abdul Rashid berkata, setelah lebih seminggu kenyataan itu dikeluarkan Koon Yew Yin, namun masih tiada tindakan yang sewajarnya diambil oleh kerajaan.

Menurutnya, kenyataan tersebut bukan sahaja menjatuhkan maruah dan menghiris perasaan anggota tentera sama ada masih berkhidmat atau sudah bersara.

"Sebagai seorang tokoh perniagaan, Yew Yin sepatutnya lebih peka dengan kenyataan yang dikeluarkan apatah lagi ia mampu menimbulkan ketegangan di kalangan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa," katanya.

Rosdi berkata, pihaknya tetap menuntut tindakan tegas daripada kerajaan biarpun ahli perniagaan itu telah membuat permohonan maaf.

"Kami tidak mahu kes seumpama ini berulang pada masa akan datang. Pengorbanan anggota tentera tidak perlu dipertikaikan apabila kami menyerahkan nyawa kami untuk negara.

"Ia bukan soal bangsa atau agama tetapi melibatkan maruah anggota tentera yang mana merangkumi pelbagai warna kulit dan anutan," katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini hari ini.

Selain pemimpin-pemimpin persatuan bekas tentera, ahli-ahli yang juga bekas tentera turut berkumpul bagi memberikan sokongan kepada persatuan masing-masing membuat laporan polis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Antara persatuan bekas tentera yang terlibat adalah Persatuan Veteran Tentera Tak Berpencen (PVTTB) Malaysia Kelantan, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Kelab Veteran Komando Malaysia Cawangan Kelantan, Kelab Kor Perkhidmatan Am Bahagian Kerani dan Persatuan Veteran Kor Kesihatan Diraja Wilayah Timur.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Veteran Kor Kesihatan Diraja Wilayah Timur, Muhammad Omar berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan berharap pihak kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Katanya, ia bukan sahaja penghinaan kepada tentera tetapi juga kepada negara dan seluruh masyarakat di negara ini.