Untung cukai dan bahana e-rokok

No Image Caption
A
A
A

BARU-BARU ini kecoh mengenai penjualan gula-gula yang mengeluarkan kepulan seakan-akan asap rokok.

Hal itu secara tidak langsung telah menghangatkan lagi isu vape dan rokok elektronik terutama membabitkan golongan pelajar. Dari satu sisi, penulis melihat pemain industri cukup cekap menusuk jarum halus.

Mereka langsung tidak peduli dengan keresahan yang melanda dalam kalangan ibu bapa dan guru.

Ketika pengusaha semakin kreatif mencipta rokok elektronik (dikenali sebagai e-rokok atau e-cig), vape dan paling terkini ialah pod, kemelut itu nampaknya sukar bertemu titik penyelesaian.

Bagaimanapun, ramai menarik nafas lega dengan pengumuman terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad baru-baru ini berkata, Akta Kawalan Tembakau yang sedang dirangka kementeriannya akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara, sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet awal tahun depan.

Akta baharu itu dikhabarkan lebih holistik dan komprehensif kerana turut merangkumi produk seperti rokok elektronik, vape dan shisha.

Secara peribadi, penulis sangat mengharap akta itu diluluskan lantaran darjah kebimbangan yang tinggi sebaik membaca hasil tinjauan tembakau dan rokok elektronik dalam kalangan remaja Malaysia 2016 (Tecma).

Artikel Berkaitan:

Tecma melaporkan, terdapat kira-kira 300,000 pelajar sekolah di Malaysia merupakan pengguna vape.

Daripada jumlah itu, seramai 250,000 pelajar lelaki manakala 50,000 lagi pelajar perempuan.

Seramai 40.9 peratus golongan itu pula dikatakan menggunakan vape sekali dalam sehari, sementara 33.9 peratus lagi menggunakan vape dua hingga lima kali dalam sehari.

Itu data yang diperoleh pada tahun 2016. Penulis percaya, jumlahnya kian meningkat.

Nampaknya, kenyataan bahawa vape ‘lebih sihat’ daripada sebatang rokok dan berupaya merawat ketagihan merokok terus dijadikan ‘lesen’ golongan degil itu untuk terus ‘berasap’.

Jika melihat kembali definisi daripada KKM, peranti elektronik yang mengandungi nikotin dikenali sebagai sebagai rokok elektronik (e-cig). Sementara yang tidak mengandungi nikotin, dirujuk sebagai vape.

Isunya kini ialah siapa yang dapat memastikan tahap nikotin dan bahan selamat cecair isian semula e-rokok? Tidak mustahil ia boleh ditambah atau diisi dengan bahan yang mengkhayalkan atau bahan terlarang lain.

Tidak keterlaluan juga untuk dikatakan, trend e-rokok semakin menjadi-jadi.

Seperti penulis katakan tadi, ia telah direka secara sengaja dalam bentuk yang lebih kecil, comel dan unik dengan tujuan memudahkan alat itu disembunyi. Pastinya taktik itu sangat disukai dalam kalangan budak sekolah.

Senang mahu sorok!

Itulah perangai tidak bertanggungjawab tauke besar syarikat e-rokok. Industri nikotin sesungguhnya penuh dengan kapitalis yang ingin mengaut keuntungan apabila berterusan membawa sejumlah manusia menjadi ketagih dengan cecair nikotin dalam e-rokok.

Persoalannya, pihak mana yang akan untung besar? Golongan mana pula akan sakit dan tertindas? Sememangnya, sebelum ‘mencipta’, pihak syarikat rokok atau e-rokok sudah lama mengkaji tingkah laku kumpulan sasarnya.

Nampaknya misi mereka membuahkan hasil.

Tahukah anda, kesan asap rokok yang dihidu menjadi punca kepada masalah kesihatan serius seperti kanser paru-paru. Hal itu pernah dinyatakan oleh Dr Neal Benowitz dari Pusat Tobacco Control Research and Education, University of California San Francisco, Amerika Syarikat. Katanya, belum ada bukti perubatan yang menunjukkan bahawa e-rokok membantu menghentikan kecanduan rokok tembakau.

Sebenarnya masih ramai yang belum memahami isu dan bahana e-rokok.

Ketahuilah bahawa kos perubatan bagi pesakit yang mengalami komplikasi merokok jauh lebih besar daripada cukai yang kita bayar.

Ironinya baru-baru ini, Bernama melaporkan, sebuah firma tembakau menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas untuk membanteras perdagangan rokok dan vape haram yang menyebabkan kerajaan kerugian kutipan hasil cukai sebanyak RM6 bilion setahun.

Antara untung cukai dan kesihatan rakyat, mana satu perhatian utama kerajaan?

*Azimah Ghazali ialah Penolong Editor Meja Rencana