Buah duku terbaik dari Terengganu

No Image Caption
A
A
A

HULU TERENGGANU - Pengeluaran duku Terengganu pada musim tahun ini yang bakal berakhir penghujung Oktober depan dijangka mencecah hampir 5,000 tan metrik di seluruh Terengganu.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Fauzi Mohamed berkata, terdapat 11 pusat pengumpulan duku di seluruh negeri bagi memudahkan pekebun atau petani menghantar hasil kebun mereka.

"Kebiasaannya duku Terengganu keluar hasil selepas musim buah-buahan lain seperti dokong dan rambutan tetapi kali ini serentak termasuk dengan manggis, durian serta duku Kelantan.

"Jadi, akan ada masalah sedikit dari segi persaingan. Bagaimanapun, pihak FAMA akan bantu pengusaha duku Terengganu dari segi pemasaran dengan memasarkan hasil duku ini di seluruh negara.

"FAMA akan membeli duku-duku yang telah dihantar serta digredkan di 11 pusat pengumpulan seluruh Terengganu dan kita jangkakan ia melibatkan lebih kurang 750 orang pekebun atau petani," katanya kepada pemberita di Kampung Durian Bador, di sini semalam.

Para usahawan duku bergambar kenangan bersama Mohd Anis (berdiri, tujuh dari kanan) dan Fauzi (berdiri, enam dari kanan) semalam.
Para usahawan duku bergambar kenangan bersama Mohd Anis (berdiri, tujuh dari kanan) dan Fauzi (berdiri, enam dari kanan) semalam.

Terdahulu, beliau bersama Pengarah Kanan Khidmat Pemasaran (Segar) FAMA Ibu Pejabat, Mohd Anis Mohd Yasin menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual-Beli antara FAMA dengan Usahawan Duku.

Sementara itu, Mohd Anis berkata, FAMA akan membantu pengusaha duku Terengganu memasarkan hasil tanaman mereka di seluruh negara dengan membeli 50 peratus buah berkenaan, tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya juga akan giatkan promosi duku Terengganu bagi mengatasi risiko lambakan buah tersebut di pasaran sambil memberitahu, duku Terengganu adalah antara terbaik di negara ini.

"Kita jangka akan ada peningkatan dalam pengeluaran duku Terengganu ini dan kita akan lipat ganda promosi duku kerana didapati penduduk di negara ini agak kurang makan buah-buahan berbanding negara maju.

"Selain kita membeli, kita juga menggalakkan petani untuk terlibat dalam pemasaran supaya mendapat hasil lebih baik sekali gus dapat meningkatkan tingkat taraf kehidupan mereka," ujarnya.