Kecek Kiro sesi bual bicara OKU

Antara ahli jawatankuasa program dan tetamu bual bicara 'Kecek Kiro' di Salor dekat sini.
Antara ahli jawatankuasa program dan tetamu bual bicara 'Kecek Kiro' di Salor dekat sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Dalam kerangka memperkasakan Gagasan Orang Kurang Upaya (OKU) Muqarabun, suatu bual bicara OKU diadakan di pekarangan Wisma Tok Guru di Salor di sini.

Program yang dinamakan 'Kecek Kiro' tersebut dikendalikan moderator Mohd Osman Omar dengan panel jemputan ahli Majlis Penasihat OKU Negeri, Mohammad Faizal Che Yusof dan Pengerusi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Kelantan, Mohd Nazri Nawi.

Mohd Osman Omar yang juga Penyelaras Parlimen OKU bagi Kubang Kerian berkata, program Kecek Kiro itu diadakan sebagai salah satu langkah menyebarluaskan kefahaman tentang OKU kepada masyarakat setempat.

"Program ini lebih kepada bicara santai diadakan dengan tema 'Gapo Gak OKU Muqarabun?'.

"Sesi bual bicara ini berlangsung sekitar satu jam lima belas minit nyata mendapat perhatian dan diharap dapat memberi pengetahuan kepada orang ramai," katanya.

Program tersebut yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Majlis tindakan DUN Salor, Mohamad Nuri Mat Yaacub dan dihadiri lebih 50 orang OKU dan penduduk sekitar.

Sementara itu, Mohd Nazri berkata, masyarakat yang sejahtera adalah masyarakat yang mampu faham tentang potensi dan keupayaan OKU pelbagai kategori.

"Dari situlah keterampilan OKU dapat diserlahkan melalui pelbagai program dan usaha yang kami jalankan.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH pihak kami akan komited turut serta dalam program sedemikian dalam usaha kami menjayakan agenda Kesejahteraan Masyarakat Keterampilan OKU yang sedang kami usahakan ke seluruh negara," jelasnya.

Selain program kepada pemimpin masyarakat, Pertis Kelantan dan Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK) turut menggerakkan program imarah masjid dalam bentuk dhuha OKU dan kuliah maghrib bertemakan 'Rasul ALLAH Gilap OKU' sebagai usaha mereka menyemarakkan kesedaran masyarakat kepada potensi dan keupayaan OKU.