Lawatan ke Brunei cerminan hubungan dua hala yang utuh, unik

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua, kiri) berkenan bergambar bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada Majlis Santapan Malam Negara di Istana Nurul Iman. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua, kiri) berkenan bergambar bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada Majlis Santapan Malam Negara di Istana Nurul Iman. - Foto Bernama
A
A
A

BANDAR SERI BEGAWAN - Lawatan negara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Brunei Darussalam, yang berakhir hari ini, terus memperkukuhkan hubungan akrab dengan mencakupi pelbagai bidang kerjasama dua hala Malaysia-Brunei

Lawatan sulung Sultan Abdullah, selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai, menjadi satu cerminan keutuhan dan keunikan hubungan dua negara menerusi ikatan Kesultanan Melayu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin merumuskan lawatan negara itu satu titik permulaan paling unik keakraban hubungan dua raja Melayu di nusantara.

Katanya, Sultan Abdullah menzahirkan rasa puas hati dan penghargaan terhadap lawatan negara pertama Seri Paduka sebagai ketua utama negara kerana kunjungan itu berjaya mengukuhkan lagi hubungan yang sedia terjalin sejak 35 tahun lepas.

“Seri Paduka Baginda telah menzahirkan rasa puas hati terhadap lawatan negara pertama ini di mana kedua-dua Tuanku iaitu Sultan Hassanal Bolkiah dan Sultan Abdullah mengeratkan lagi hubungan akrab antara kedua-dua raja Melayu yang unik ini.

“Bagi pihak Istana Negara, ini adalah suatu perkara unik di mana pada 1984 Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ketujuh telah melakukan lawatan ke Brunei dan kali ini ialah anakanda Almarhum iaitu Al-Sultan Abdullah melakukan lawatan negara,” katanya ketika ditemubual wartawan Malaysia yang membuat liputan Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong ke Brunei.

Lawatan Sultan Abdullah selama tiga hari itu juga sebagai mengenang kembali lawatan bersejarah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah yang ketika itu Yang di-Pertuan Agong pertama mengadakan lawatan negara ke Brunei sebaik sahaja negara itu mencapai kemerdekaan pada 1984.

Ahmad Fadil berkata, keakraban kerjasama Malaysia-Brunei dapat dilihat daripada sudut ekonomi dengan nilai dagangan eksport negara ke Brunei tahun lepas hampir US$600 juta (bersamaan RM2,510 juta) manakala nilai import Malaysia kira-kira US$450 juta (bersamaan RM1,673 juta).

Sepanjang lawatan itu, jelas terserlah suasana sambutan yang meriah dan penuh kemesraan yang merapatkan lagi silaturrahim kedua-dua negara dan kunjungan Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Artikel Berkaitan:

Keakraban kedua-dua institusi diraja itu diserlahkan lagi dengan penganugerahan Darjah Kerabat Mahkota Brunei (D.K.M.B), iaitu bintang kebesaran tertinggi di negara itu yang dikurniakan oleh Sultan Brunei kepada Sultan Abdullah dan anugerah Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K) kepada Tunku Azizah.

Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan anugerah Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) kepada isteri Sultan Brunei, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Kedua-dua ketua negara itu turut menzahirkan keyakinan agar semangat persaudaraan dan persahabatan yang rapat dan mesra antara kedua-dua negara akan sentiasa berterusan.

"Melalui hubungan yang akrab ini, kita telah menikmati rangkaian kerjasama yang berterusan di pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan, keselamatan dan pendidikan demi kepentingan bersama," titah Sultan Hassanal Bolkiah semasa bertitah pada Majlis Persantapan Diraja.

Sultan Abdullah dalam titah balas, menyifatkan kejayaan hubungan Malaysia dan Brunei itu dicapai atas hasil daya usaha dan pandangan jauh kedua-dua kerajaan yang berpegang kepada manifestasi kerjasama utuh menerusi pendekatan rundingan tahunan antara pemimpin kedua-dua negara.

"Pendekatan ini telah menjadi tiang kerjasama kedua-dua negara dalam membincangkan pelbagai isu bagi mencapai keputusan yang bermanfaat kepada rakyat Malaysia dan Negara Brunei Darussalam. Melalui pendekatan ini juga hubungan ekonomi antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam menjadi semakin kukuh," titah Seri Paduka. - Bernama