Polis nafi dakwaan ibu bapa Nora Anne bersubahat

Meabh bersama Nora Anne
Meabh bersama Nora Anne
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menafikan dakwaan yang mengatakan keluarga Nora Anne Quoirin, 15, bersubahat dalam kehilangan dan kematian remaja berkenaan, baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, dakwaan tersebut adalah fitnah dan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengatakan ibu bapa remaja terbabit terlibat.

"Dakwaan itu adalah fitnah dan kita sudah buat laporan berhubung dakwaan itu.

"Kita nafikan, bagi kes kematian ini memang kita siasat, tapi tidak adalah kita kata ibu bapa remaja itu terlibat. Kita siasat atas fitnah tersebut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Hari ini, dalam satu muat naik di Facebook, peguam Anne Brennan yang juga seorang aktivis kanak-kanak didakwa menuduh keluarga Quoirin 'berusaha sedaya upaya' untuk 'mengganggu proses keadilan'.

Hantaran tersebut juga mendakwa ibu bapa gadis tersebut 'cabut lari' dari Malaysia sebaik sahaja menerima jaminan yang mereka tidak akan disiasat dalam kes terbabit.

13 Ogos lalu, mayat Nora Anne ditemukan kira-kira jam 1.57 petang oleh sekumpulan pendaki yang menyertai operasi SAR kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu.

Laporan bedah siasat kemudian mengesahkan gadis tersebut meninggal dunia disebabkan kebocoran pada usus mungkin akibat kelaparan dan stres selain tiada tanda-tanda perbuatan jenayah dan remaja itu tidak dirogol.

Gadis berusia 15 tahun yang mengalami masalah pembelajaran itu dilaporkan hilang dari resort The Dusun Pantai Hill di sini pada 4 Ogos lalu semasa sedang bercuti bersama ibu, Maebh Jaseprine Quorin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 47, serta dua adiknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah Nora Anne 'buka' cerita Gunung Berembun

Artikel Berkaitan:

Keluarga Nora Anne mungkin minta bedah siasat kedua