Dua beradik cederakan lelaki tetak kaki lembu didenda

A
A

KUALA TERENGGANU - Pasangan adik-beradik didenda oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini, kerana mencederakan seorang lelaki yang dipercayai menetak kaki lembu mereka.

Tertuduh, Aiman Asyraf Zaki, 25, didenda RM6,000 manakala adiknya, Arman Arif Zaki, 23, didenda RM1,500 setelah masing-masing mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan terhadap mereka.

Bukan itu sahaja, tertuduh, Aiman Asyraf dan adiknya, Arman Arif, turut berdepan hukuman penjara 10 bulan dan dua bulan penjara sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama terhadap Aiman Asyraf, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan sebatang kayu terhadap mangsa yang berusia 31 tahun pada 25 Julai lalu, kira-kira jam 3.30 petang di Durian Burung, di sini.

Dengan itu, dia telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa sehingga menyebabkan ketakutan, dan telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sebaik pengakuan bersalahnya direkodkan, Majistret Noor Mazrinie Mahmood kemudiannya mengenakan hukuman denda sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Sementara itu, di mahkamah majistret berasingan, Arman Arif didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada mangsa yang berusia 31 tahun itu.

Justeru, dia telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Majistret Abdul Hayyi Salim kemudiannya mengenakan hukuman denda RM1,500 terhadap tertuduh sebaik sahaja pengakuan bersalah tertuduh direkodkan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna dan Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad dan Che Amir Che Musa.

Mengikut fakta kes, mangsa yang baru pulang dari rumahnya selepas mengambil anaknya di sekolah didatangi dua tertuduh.

Dua beradik menuduh mangsa mencederakan lembu mereka menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum dua tertuduh menyerang mangsa.