Lima remaja 'suka-suka' pecahkan cermin 18 kereta ditahan

Muhammad Hanif (tengah) menunjukkan tiga buah motosikal yang dirampas ketika menahan lima suspek berkenaan awal pagi tadi.
Muhammad Hanif (tengah) menunjukkan tiga buah motosikal yang dirampas ketika menahan lima suspek berkenaan awal pagi tadi.
A
A
A

MANJUNG - Sekumpulan lima remaja yang memecahkan cermin 18 buah kereta di parkir di tepi jalan di taman perumahan sekitar Ayer Tawar di sini Sabtu lalu berjaya ditahan polis awal pagi tadi.

Kesemua suspek melakukan perbuatan berkenaan bukan kerana samun sebaliknya sekadar suka-suka membaling batu ke arah kereta yang di parkir semasa mereka sedang menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, kesemua lima remaja lelaki berusia antara 18 hingga 24 tahun tersebut ditahan polis di salah sebuah taman perumahan di Ayer Tawar sekitar jam 2.30 pagi.

"Kita menerima laporan selepas tular di laman sosial kejadian pecah cermin kereta yang didakwa orang ramai sebagai kegiatan samun.

"Hasil siasatan yang dijalankan pasukan polis Balai Polis Ayer Tawar berjaya mencari dan menjejaki sekumpulan lelaki bermotosikal yang menjalankan kegiatan pecah cermin kereta di Ayer Tawar dan menahan mereka bersama tiga buah motosikal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini hari ini.

Menurut Muhammad Hanif, hasil soal siasat yang dijalankan mendapati kesemua suspek yang menganggur mengaku membuat khianat dengan memecahkan cermin 18 buah kereta keseluruhannya.

"Mereka mengaku melakukan aktiviti ini secara rambang dan ujian air kencing juga mendapati mereka negatif dadah.

Artikel Berkaitan:

"Polis percaya perbuatan ini lebih kepada khianat dan vandalisme.

"Kesemua lelaki ini ditahan reman bermula hari ini sehingga esok dan siasatan lanjut masih dijalankan di mana kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan melakukan khianat," katanya.