Gejala rasuah penjawat awam membimbangkan: Latheefa

Amirudin menandatangani Ikrar Bebas Rasuah sambil diperhatikan Latheefa pada Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah ADUN Selangor 2019 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini tadi.
A
A

SHAH ALAM - Lebih 53.4 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan kerana kesalahan rasuah adalah mereka yang berumur di bawah 40 tahun.

Lebih memeranjatkan, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati 22.1 peratus responden penjawat awam berkata mereka sanggup menerima rasuah sekiranya mempunyai kuasa atau kedudukan dalam jawatan.

Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, hasil dapatan SPRM mengenai penglibatan kakitangan awam dalam kegiatan rasuah juga amat membimbangkan.

"Sejumlah 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan kerana kesalahan rasuah dari 2014 sehingga Jun tahun ini terdiri daripada kakitangan awam.

"Kebanyakan kesalahan rasuah yang berlaku pula membabitkan kakitangan dalam sektor perolehan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor 2019 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Penjawat awam di negeri ini melafazkan ikrar pada Majlis Lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah ADUN Selangor 2019 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini tadi.
Penjawat awam di negeri ini melafazkan ikrar pada Majlis Lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah ADUN Selangor 2019 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini tadi.

Latheefa berkata, perkara ini merupakan sesuatu yang perlu diperbetulkan agar kesalahan rasuah dalam kalangan penjawat awam dapat dihapuskan.

"Selagi kita ada jawatan, ada kuasa dan selagi mana kuasa dan jawatan yang ada pada kita hari ini mempunyai kepentingan kepada semua pihak, maka selama itu jugalah kita akan sentiasa berhadapan dengan risiko terdedah kepada bahaya gejala dan penyakit rasuah," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) ini beliau berkata, ia merupakan satu janji yang dibuat oleh kepimpinan organisasi dan warganya atas kapasiti individu untuk sesekali tidak terlibat dalam kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

"Matlamat utama IBR adalah bagi memastikan kepimpinan sentiasa mengutamakan integriti dalam melaksanakan tugas dan amanah mereka.

"Tindakan kepimpinan negeri Selangor menandatangani IBR hari ini jelas memperlihatkan keikhlasan, komitmen kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif, bebas rasuah demi menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat," katanya.

Turut hadir sama pada majlis ini adalah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan kepimpinan negeri yang lain.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia