TPM ucap tahniah atas kejayaan Jin Wei

Jin-wei
A
A

KEJAYAAN pemain muda wanita negara, Goh Jin Wei meraih Kejuaraan Badminton Remaja Dunia buat kali kedua di Kanada pada Ahad mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berbangga dengan kejayaan tersebut.

"Tahniah Goh Jin Wei, juara Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kanada. Malaysia boleh!," kata Dr Wan Azizah dalam Twitternya, hari ini.

Jin Wei yang merupakan pilihan ketiga kejohanan, memenangi gelaran berkenaan selepas menewaskan pilihan ke-13 , Line Christophersen dari Denmark menerusi kemenangan 21-13 dan 21-11 pada aksi final di Markham Pan Am Centre, Kanada.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut melahirkan rasa bangga di atas kejayaan Jin Wei yang mempamerkan aksi terbaik untuk meraih kejuaraan Remaja Dunia buat kali kedua selepas 2015.

"Kalau mengikuti perkembangannya, jarang sekali beliau kalah set pertama dan jurang di antara beliau dan lawan sangat besar. Final dia menang 21-13 & 21-11. She’s the future!," kata Syed Saddiq dalam catatan di Twitternya.

Berkongsi pandangan sama adalah Timbalannya, Steven Sim Chee Keong yang memuji pemain muda berkenaan menerusi catatan dalam laman Twitternya.

Dalam pada itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin turut mengucapkan tahniah kepada Jin Wei di atas kejayaan cemerlang pemain berkenaan.

“Tahniah, Jin Wei! Prestasinya menurun selepas memenangi Remaja Dunia pada tahun 2015. Dia bekerja keras untuk bangkit semula meraih emas di @ KL2017 (Temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur). Tahun ini, dia kembali dengan emas Olimpik Remaja dan satu lagi gelaran Remaja Dunia, Kerja keras membuahkan hasil,”' jelas Khairy. – Bernama