Krisis dalaman UMNO terus panas

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

KRISIS dalaman UMNO terus panas selepas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat pendedahan mengejutkan dalam satu sidang akhbar khas pada Isnin.

Beliau berbuat demikian selepas digugurkan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis lalu.

Dalam sidang akhbar yang berlangsung lebih sejam itu, Tajuddin telah memberi isyarat 'perang' kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan membongkarkan beberapa gerakan yang didalangi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Antara perkara yang dibongkarkan Tajuddin termasuklah dengan mendakwa wujudnya akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Tajuddin berkata, beliau adalah saksi hidup yang turut menandatangani SD itu meskipun yang pada awalnya menolak cadangan pucuk pimpinan parti berkenaan.

Sebelum ini, Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 menolak jajaran baharu yang dikaitkan dengan DAP dan PKR.

Beliau bagaimanapun mengakui parti itu hanya bersedia untuk menubuhkan jajaran politik yang baru selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Lebih menguatkan lagi pendedahan bekas Ahli MKT UMNO tersebut, Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz turut tampil mendedahkan sokongan SD yang ditandatanganinya bersama beberapa pemimpin UMNO sebanyak dua kali sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Pemimpin yang terlibat itu katanya, Ahmad Zahid, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tajuddin.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, SD itu juga didakwa ditandatangani mereka ketika krisis pentadbiran semasa kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antara pendedahan lain, Tajuddin turut mendakwa Presiden parti tidak berpuas hati dengan kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kerana beliau tidak diberi ruang menggalas jawatan tersebut.

Berikutan itu, Tajuddin menyifatkan Ahmad Zahid bukan berjuang untuk kepentingan UMNO, sebaliknya kembalinya menjadi Presiden parti setelah berehat selama enam bulan pada tahun 2019, adalah bertujuan membolehkan beliau kembali berkuasa.

Bagaimanapun, terdapat juga pendedahan yang mana wujudnya memorandum untuk meminta Ahli Parlimen Bagan Datuk itu melepaskan jawatan sebagai Presiden parti.

Menurut Tajuddin, memorandum tersebut dibuat susulan perjumpaan tertutup di rumahnya pada Mei 2022, yang mana turut diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hasan dan Najib.