Luruhnya air mata Sultan Nazrin keranamu Adib

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitiskan airmata ketika bertitah mengenai kematian Pegawai Bomba (PB) Muhammad Adib Mohd Kassim.

Baginda bertitah supaya pihak yang bertanggungjawab dengan kematian Muhammad Adib tidak dilindungi.

Baginda bertitah, kejadian yang menimpa Muhammad Adib perlu diadili dengan setimpal dan dalang yang bertanggungjawab tidak terlepas daripada hukuman di atas dosa yang dilakukan.

Titah baginda, seluruh negara berduka dengan kejadian itu dan mahukan segala usaha dilakukan supaya keadilan tidak dicicirkan dalam mencari tangan yang bergelumang dosa.

"Seluruh negara, tanpa mengira kaum dan pegangan agama, termasuk istana sama-sama berduka dengan nasib Muhammad Adib dan keluarga. Demi menegakkan kebenaran, mereka yang menyaksikan kejadian berlaku, ada tanggungjawab moral, agama dan undang-undang untuk tampil membantu kerja siasatan polis.

"Jenayah sekejam ini, sama sekali tidak boleh dilindungi. Kepada ALLAH kita pohon akan berlaku keadilan setimpal bagi memastikan pihak yang bersalah dan dalang bertanggungjawab tidak terlepas daripada dihukum kerana dosa yang dilakukan," titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Hakim serta Pendaftar Mahkamah Syariah Pulau Pinang di sini, hari ini.

17 November lalu, Muhammad Adib, 24, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 9.41 malam selepas tiga minggu mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Artikel Berkaitan:

Muhammad Adib cedera parah dipercayai dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya dekat sini, 27 November lalu.

Allahyarham sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 23 Disember lalu.