Pencarian dua tentera hilang akan dipergiat

Koperal David Edmund Rapi (kiri) dan Lans Koperal Moses Logers dikesan hilang ketika bertugas di kawasan operasi Op Pejarak di Pulau Perak, Kedah pada 20 Julai lalu.
A
A

SIBU - Usaha mencari dan menyelamat dua anggota tentera Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4RRD) berasal dari Sarawak yang hilang di Pulau Perak, Kedah sejak 20 Julai akan dipergiatkan sebaik sahaja memperoleh petanda baharu.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, pada masa ini Tentera Darat masih lagi meneruskan usaha mengesan dua anggota tentera tersebut namun pada masa sama mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berhubung pencarian anggota yang hilang.

Dua anggota tentera tersebut ialah Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, dikesan hilang ketika bertugas di kawasan operasi Op Pejarak di Pulau Perak, Kedah pada 20 Julai lalu.

"Kami telah bertemu dengan ahli keluarga mereka (dua anggota tentera yang hilang itu) dan mereka merayu (bagi meneruskan usaha SAR). Kami masih lagi meneruskan pencarian. Kalau ada petanda baharu kami akan pergiatkan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas upacara penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) di Kem Rascom di sini hari ini.

Seramai 156 penerima PJM dan 44 penerima PKN menerima pingat daripada Menteri Pertahanan.

PJM dan PKN merupakan pingat kempen yang diwujudkan sebagai pengiktirafan kerajaan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan mereka kepada negara.

Pemberian pingat tersebut adalah bagi menghargai jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh anggota tentera khususnya yang bertugas semasa darurat dan mempertahankan negara semasa Operasi Daulat di Lahad Datu pada tahun 2013 bagi membanteras pencerobohan bersenjata dari selatan Filipina.

Mohamad Sabu turut berkata, kementeriannya telah mengemukakan tuntutan atau referendum kepada kerajaan bahawa penerima PJM di seluruh negara perlu diberikan elaun.

"Perkara ini sedang dibincangkan di peringkat Kementerian Kewangan dan kami akan terus berusaha sehingga ia berjaya. Soal jumlah banyak mana akan diberikan itu adalah perkara kedua. Apa yang penting ialah penghargaan kepada mereka perlu ada. Ini yang kementerian sedang usahakan sekarang," jelasnya.

Sementara itu beliau berkata, pada tahun ini kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM79,684,000 bagi pemberian Bantuan Harapan Negara (BHN) kepada 159,368 penerima dalam kalangan veteran ATM berpencen dan tidak berpencen bagi kategori kumpulan B40.

Pembayaran telah dimulakan sejak 27 Mei lalu. - Bernama