Kes Zakir Naik: Pulau Pinang belum ada ketetapan

Dr Wan Salim Wan Mohd Noor
A
A

GEORGETOWN - Belum ada sebarang ketetapan yang dibuat oleh pihak berkuasa agama di Pulau Pinang mengenai pendakwah bebas, Dr Zakir Naik untuk menyampaikan ceramah di negeri ini.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berpendapat, masyarakat Islam di sini tidak perlu mendapatkan penceramah luar memandangkan ramai ustaz dan ulama tempatan yang mampu melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik.

Menurutnya, paling penting setiap program ceramah keagamaan perlu mendapatkan permohonan tauliah terlebih dahulu daripada Bahagian Dakwah di Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

"Memandangkan beliau berdepan kontroversi, adalah lebih dan bijaksana sekiranya beliau tidak dibawa untuk menyampaikan ceramah di negeri ini buat masa sekarang ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Bagaimanapun, Wan Salim berkata, sekiranya ada pihak yang mahu menjemput Zakir Naik untuk mengadakan ceramah di negeri ini, sebaiknya diadakan di tempat yang tertutup untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Sebelum ini, Kedah dan Perlis mengambil pendekatan sama apabila tidak membenarkan Zakir Naik mengadakan ceramah di negeri ini susulan kontroversi melibatkan pendakwah terbabit.

Keputusan itu dibuat bagi memastikan keharmonian kaum di negara ini terpelihara.

ARTIKEL BERKAITAN Kedah negeri kedua larang ceramah Zakir Naik