Kedah negeri kedua larang ceramah Zakir Naik

Zakir Naik. Gambar kecil:Dr Ismail Salleh
Zakir Naik. Gambar kecil:Dr Ismail Salleh
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah mengambil pendekatan sama seperti Perlis apabila tidak membenarkan Dr Zakir Naik mengadakan ceramah di negeri ini susulan kontroversi melibatkan pendakwah terbabit.

Exco Agama Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, ia dilakukan bagi memastikan keharmonian kaum di negara ini terpelihara.

Bagaimanapun, katanya, Zakir dibenarkan mengunjungi Kedah, cuma tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana program.

"Buat masa sekarang kita harus utamakan keharmonian kaum. Jangan simbah minyak pada api, bimbang api menyala lebih besar. Kita tak mahu pertaruhkan perpaduan sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Ceramah Dr Zakir batal atas faktor keselamatan

Status penduduk tetap Zakir Naik boleh ditarik balik: PM

Dr Ismail berkata, sekiranya sesuatu program itu memberi manfaat dan tidak ekstrem, kerajaan negeri tiada halangan untuk membenarkan penganjurannya.

Menurutnya, Zakir pernah terbabit dalam program di Universiti Utara Malaysia (UUM) April lalu, namun dikenakan syarat ketat antaranya hanya membicarakan topik yang diberikan penganjur.

"Ketika itu beliau patuh dengan tajuk diberikan iaitu berkisar kepada motivasi pelajar. Malah penganjur rujuk program berkenaan kepada pejabat Mufti Kedah dan Exco.

"Tapi jika mahu anjurkan program sekarang, kita kekal pada pendirian tidak membenarkan beliau,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada permohonan daripada mana-mana pihak di negeri ini mahu anjurkan ceramah Zakir.