Tak perlu bimbang ke Thailand

Abdullah Mohammad Piah
Abdullah Mohammad Piah
A
A
A

KOTA BHARU – Pemandu Malaysia tidak perlu bimbang untuk ke Thailand, namun dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang negara yang bakal dilawati.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, selain memiliki lesen memandu, penduduk perlu mengambil insurans, pasport atau pas sempadan.

Malah beliau berkata, pemandu juga perlu menghormati undang-undang jalan raya di negara berkenaan sebagaimana di negara sendiri.

“Tak perlu bimbang untuk melancong ke luar negara melalui jalan darat, tetapi pastikan kita patuh dengan peraturan sesebuah negara yang dilawati.

“Jaga nama baik negara, elakkan daripada terlibat dengan jenayah dan patuhi undang-undang jalan raya,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, lima pemotong rumput maut dan seorang lagi cedera parah apabila dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu seorang rakyat Malaysia di daerah Rattaphum, Songkhla empat hari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang (waktu tempatan), enam pemotong rumput berusia antara 34 hingga 56 tahun itu yang berehat di tepi Jalan Hatyai-Satun, dilanggar kereta Perodua Myvi dipandu wanita berusia 30 tahun.

Pemandu wanita dan dua rakannya yang dalam perjalanan dari Krabi ke Hatyai, Songkhla, cedera ringan. Pemandu wanita itu turut disoal siasat polis.

ARTIKEL BERKAITAN Rempuh 5 pemotong rumput: Pemandu Malaysia tiada lesen sah

Artikel Berkaitan: