Tugas ahli parlimen jaga kawasan, bukan desak PM undur: Azmin

Mohamed Azmin bersama peserta larian WSC Run 2019 di Dataran Merdeka hari ini .
Mohamed Azmin bersama peserta larian WSC Run 2019 di Dataran Merdeka hari ini .
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menempelak tindakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berundur.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyifatkan, desakan tersebut tidak wajar datang daripada seorang ahli parlimen yang sepatutnya memberi tumpuan terhadap kawasan sendiri.

“Ini bukan peranan seorang ahli parlimen. Ahli parlimen harus tumpu kepada pembangunan di kawasan masing-masing dan soal Dr Mahathir menjadi perdana menteri itu telah ditentukan oleh rakyat dalam PRU lepas.

Mohamed Azmin bersama peserta larian WSC Run 2019 di Dataran Merdeka hari ini.
Mohamed Azmin bersama peserta larian WSC Run 2019 di Dataran Merdeka hari ini.

“Pendirian PH jelas kita memberikan sokongan padu kepada Dr Mahathir untuk meneruskan kepimpinan beliau kerana kestabilan politik amat penting untuk menarik pelaburan dalam negara.

“Alhamdulillah setahun kepimpinan Dr Mahathir kita telah meletakkan kembali asas kepada yang betul dan saya percaya sekarang ini adalah untuk perlaksanaan dasar-dasar yang telah ditetapkan,” katanya kepada media ketika ditemui di acara World Stats (WSC) Run 2019 di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Mohamed Azmin (dua,kiri) melepaskan peserta larian WSC Run 2019 kategori 10 kilometer di Dataran Merdeka hari ini.
Mohamed Azmin (dua,kiri) melepaskan peserta larian WSC Run 2019 kategori 10 kilometer di Dataran Merdeka hari ini.

Beliau mengulas tindakan ahli parlimen PKR yang membuat kenyataan mengesyorkan agar Dr Mahathir mengambil langkah berundur daripada jawatan Perdana Menteri rentetan pelbagai polemik yang berlaku ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Hassan mendakwa, Dr Mahathir kini seolah hilang punca untuk berdepan dengan pelbagai isu terutamanya untuk mengendalikan isu tiga R iaitu isu kaum, agama dan raja.

Terdahulu, beliau melepaskan sebelum menyertai peserta larian WSC Run 2019 yang diadakan sempena Kongres Statistik Sedunia, Institut Statistik Antarabangsa (ISI WSC 2019) ke-62 akan diadakan buat julung kalinya di Malaysia, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada 18 hingga 23 Ogos 2019.