Rezeki di bulan kemerdekaan!

Antara rekaan baju patriotik oleh Mahani yang dipamerkan di butiknya di Bukit Jambul.
Antara rekaan baju patriotik oleh Mahani yang dipamerkan di butiknya di Bukit Jambul.
A
A
A

GEORGETOWN - Bermula dengan menjahit dua pasang baju Jalur Gemilang untuk dipakai anak kembarnya, Mahani Udit, 30 kini menjadi tumpuan setiap kali negara meraikan Hari Kemerdekaan.

Anak jati Sungai Petani, Kedah ini tidak pernah menyangka, usahanya untuk membolehkan anak perempuan kembarnya memasuki pertandingan baju patriotik tercantik di tadika pada 2015 telah membuka pintu rezekinya sehingga kini.

Mahani amat sibuk menyiapkan tempahan seorang diri tanpa bantuan pekerja.
Mahani amat sibuk menyiapkan tempahan seorang diri tanpa bantuan pekerja.

Menurutnya, sejak daripada itu, dia tidak putus menerima tempahan bukan sahaja dari orang perseorangan malah dari agensi, institusi, penganjur program dan sebagainya untuk dipakai pada Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

"Ketika anak saya memberitahu mereka perlu memakai baju patriotik untuk pertandingan di tadika, saya mula terfikir. Takkan nak bagi anak-anak saya pakai baju berwarna berasaskan bendera Malaysia. Itu sudah biasa untuk dinilai dalam pertandingan.

"Dari situ, saya cuba menggunakan kain bendera untuk dijahit menjadikan baju patriotik bagi dipakai kedua-dua anak saya. Tak sangka pula, selepas itu ramai ibu bapa dan guru yang suka dan mereka telah menempah dari saya. Bermula dari situ, rezeki saya tidak pernah putus tambahan pula menjelang Hari Kemerdekaan," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Ibu tunggal kepada tiga cahaya mata ini berkata, bagi tahun ini, dia mendapat tempahan 1,500 pasang baju patriotik yang perlu disiapkan dalam tempoh dua bulan (Ogos dan September).

"Saya perlu bekerja lebih masa sejak Julai lalu untuk menyiapkan kesemua tempahan. Saya mampu menyiapkan 30 pasang sehari dalam tempoh lapan jam. Saya akan jahit bermula dari pagi, kadang-kadang tidak sempat siap di kedai, saya sambung jahit di rumah.

"Tahun ini, saya ambil tempahan awal kerana tempahan yang diterima agak banyak. Tempahan adalah untuk Hari Kemerdekaan yang disambut pada bulan ini dan Hari Malaysia pada September. Selain baju patriotik, saya juga menjahit baju jenis lain antaranya kemeja, baju kurung, uniform dan lain-lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahani menerima tempahan sebanyak 1,500 helai baju pada tahun ini.
Mahani menerima tempahan sebanyak 1,500 helai baju pada tahun ini.

Dia berkata, baju Jalur Gemilang yang dijahit dijual dengan harga RM50 hingga RM250 sepasang mengikut saiz dan corak baju.

Mahani berkata, dia mempelajari menjahit baju menerusi aplikasi YouTube yang ditonton melalui telefon bimbitnya.

"Sebenarnya saya tidak berniat pun nak jadi tukang jahit tetapi kerana terpaksa, saya mempelajarinya menerusi YouTube. Saya mula berjinak dengan bidang menjahit baju selepas menjadi ibu tunggal sejak 10 tahun lalu. Pada masa itu, saya hanya berniaga goreng pisang dan air kelapa.

"Pendapatan yang tidak menentu membuatkan saya tidak mampu membeli pakaian untuk anak-anak. Bermula dari situ, saya tekad menjahit baju anak-anak dan mula memberanikan diri mengambil upah menjahit telekung," katanya.

Mahani kini berbangga dengan hasil titik peluhnya dengan membuka Anggerik Rimba Alteration.
Mahani kini berbangga dengan hasil titik peluhnya dengan membuka Anggerik Rimba Alteration.

Menurutnya, bermula dengan menyewa sebuah kedai kecil di Kompleks Bukit Jambul, dia kini berjaya mengembangkan perniagaannya dengan membuka sebuah butik Anggerik Rimba Alteration.

"Saya berharap perniagaan saya ini akan terus maju demi masa depan anak-anak. Sebab itu saya menyambung pelajaran dalam Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengurusan.

"Saya ingin menjadi usahawanita yang berilmu supaya saya boleh melangkah lebih jauh. Saya tidak mahu lagi hidup dalam kesusahan dan mahu anak-anak saya senang, tidak susah seperti ibu mereka," katanya.

Mahani kini sedang sibuk menyiapkan tempahan yang diterimanya.
Mahani kini sedang sibuk menyiapkan tempahan yang diterimanya.

Mahani berkata, pendapatannya kini mencecah ribuan ringgit setiap bulan namun ia berlipat kali ganda pada bulan Ogos dan September dengan tempahan baju patriotik oleh pelanggannya.