Buang sentimen 'barua' DAP: Mat Sabu

Mohamad (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Muhaimin selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Pasir Salak di sini hari ini.
A
A

PASIR SALAK - Parti Amanah Negara (Amanah) digesa menambah kerusi majoriti Melayu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi menghentikan sentimen 'barua' DAP yang dimainkan pihak tertentu.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, biarpun tiada penguasaan mana-mana kaum di dalam Pakatan Harapan (PH), namun disebabkan kerusi Melayu yang dimenangi pada PRU14 lalu telah mencetuskan persepsi bahawa PH dikuasai kaum tertentu.

Beliau berkata, tidak kira daripada parti Amanah, Bersatu atau PKR, sokongan daripada pengundi Melayu perlu ditambah.

"Sekarang kita dituduh barua DAP kerana kerusi Melayu tak berapa banyak. Jadi kita perlu bekerja kuat untuk memastikan lebih banyak kerusi Melayu dimenangi.

"Insya-ALLAH PRU akan datang kita yakin menang. Tapi kalau kita hilang 20 peratus kerusi Melayu, akan lebih kuat sentimen perkauman dimainkan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Pasir Salak di Green Village Eco Resort di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi; Pengerusi PH Parlimen Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Ketua Amanah Kawasan Pasir Salak, Dr Muhaimin Sulam.

Dalam pada itu, Mohamad turut mengakui gabungan UMNO dan Pas sesuatu yang menggerunkan.

Bagaimanapun beliau berkata, di sebalik keadaan itu, bukan semua ahli-ahli Pas dan UMNO setuju dengan hubungan baik dua parti itu.

"Oleh sebab itu pimpinan di peringkat kawasan dan ahli-ahli perlu bersua muka serta menziarahi ahli-ahli Pas mahupun UMNO untuk menarik mereka menyokong Amanah," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia