Agong berangkat ke Brunei sempena lawatan negara esok

Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan
A
A

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berangkat ke negara Brunei Darussalam sempena lawatan negara bermula esok hingga 20 Ogos.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, lawatan ke negara itu adalah yang pertama setelah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lalu.

Lawatan itu juga sebagai mengenang kembali lawatan bersejarah Paduka Ayahanda, Almarhum Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama mengadakan Lawatan Negara ke Brunei sebaik sahaja negara itu mencapai kemerdekaan pada tahun 1984.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat mengiringi Al-Sultan Abdullah selain Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, pegawai-pegawai kanan kementerian luar, Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri.

“Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Diraja yang akan dihoskan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan sepanjang lawatan itu,” menurut kenyataan Wisma Putra itu.

Sultan Hassanal Bolkiah sempena lawatan itu turut berkenan manganugerahkan Darjah Kerabat Mahkota Brunei (D.K.M.B) iaitu bintang kebesaran tertinggi negara itu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K) kepada Raja Permaisuri Agong.

Yang di-Pertuan Agong pula akan menganugerahkan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) kepada isteri Sultan Brunei, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu juga menyebut Al-Sultan Abdullah dan isteri turut berkenaan menghadiri Majlis Santapan Malam bersama rakyat Malaysia di negara itu dan melawat beberapa tempat bersejarah dan Jabatan Kerajaan di Bandar Seri Begawan.

“Lawatan Negara ini merupakan lawatan istimewa yang dapat merapatkan lagi hubungan sedia akrab kedua-dua negara yang banyak berkongsi nilai-nilai Islam dan budaya Melayu sejak sekian lama,” menurut kenyataan itu lagi.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia